DARIPADA bantu orang luar, baik utamakan rakyat negara kita sendiri terlebih dahulu...’

‘Eh ramai lagi orang kita yang susah, kenapa tak bantu?’

‘Tak payah bazir duit kat orang luar lah...!’

Itu antara cakap-cakap sering kedengaran apabila bantuan dihulurkan kepada orang luar dari sempadan negara ibarat kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan. Hakikatnya, jika bantuan itu diberi, matikah ‘anak’ kita?

Berkongsi pandangan berhubung tajuk isu minggu ini, Ketua Misi Lombok Bangkit 2.0, NGO Peduli Relief, Mohd Rayme Abdul Rahman tidak menafikan ‘suara’ berkenaan sering didepani pihaknya.

“Orang kata dalam negara pun banyak memerlukan, mengapa tak dibantu? Untuk pengetahuan banyak juga isu dalam negara kita usahakan minta sumbangan.

“Banyak NGO di Malaysia ini pun sebenarnya kita bahagi-bahagikan tugas. Macam kami pilih ke luar, atas dasar urgent di Lombok dan perlu dibantu, jadi kami memilih buat kutipan sumbangan untuk luar negara.

“Kami sampaikan seperti dalam program ini. Kita dedahkan semua hasil sumbangan diterima. NGO walaupun keupayaan terhad, bagi kami yang penting ikhlas,” katanya semasa Misi Bantuan Pemulihan Gempa Bumi Lombok 2.0, oleh Peduli Relief dan Mercy Chef Malaysia, di Lombok, Indonesia, minggu lepas.

Mengulas pendapat pihak merasakan wujudnya situasi ‘kera di hutan disusukan’, Rayme mengajak masyarakat sama berpakat membantu.

Menurutnya, apa diharapkan pihaknya, sekalipun tidak dapat membantu daripada segi kewangan, doa-doa mereka yang ikhlas sudah mencukupi.

“Tak perlu tohmahan, atau persepsi negatif. Pada saya ini perlu diperbetulkan. Mungkin ada juga persepsi ingat kita ambil untung... pada saya tidak.

“Tak untung pun... kerja ini hanya atas dasar membantu. Tak kira mereka di Malaysia atau orang luar, sebab manusia ini perlu dibantu seperti dikehendaki dalam Islam atau agama lain pun. Rezeki itu untuk dikongsi bersama walaupun ke luar negara. Insya-Allah ada ganjarannya,” katanya.

 

Rezeki dikongsi

Dalam pada itu, Rayme menyifatkan kebajikan rakyat negara ini masih mampu dijaga, dengan ada badan mengawal seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), pusat khidmat masyarakat dan sebagainya.

Manakala itu, untuk masyarakat luar seperti di Lombok, terlalu kurang dan banyak bantuan tidak sampai.

“Kalau ada kata banyak duit (bantuan) ke luar negara, cuba kita lihat seseorang itu lebih rela enjoy, bercuti luar negara dari tolong orang miskin memerlukan walaupun bukan di negara mereka.

“Mereka tak rasa ada sentuhan jiwa kebajikan bantu sesama manusia itu. Betul ke banyak dana dah keluar untuk orang luar... Itu wallahuaklam,” katanya.

Setiausaha Misi Lombok Bangkit 2.0, Ustaz Abdul Muhaimin Abu Bakar pula berkata, pihaknya dalam Peduli Relief turut aktif dalam negara dengan skuad bantuan.

Menurutnya, baginya tidak boleh membeza-bezakan bantuan untuk rakyat di negara sendiri dan rakyat luar.

“Apa orang Malaysia dapat, begitu juga orang luar seperti kami bantu kali ini. Mesti sama, tak boleh lebihkan mana-mana sebab dalam al-Quran sebut, Fastabiqul khairat ~Berlumba dalam membuat kebaikan.

“Maka berlumba-lumbalah kamu dalam kebaikan. Di mana saja kamu berada, pasti ALLAH akan mengumpulkan kamu semuanya…” al-Quran 2 : 148, surah Al-Baqarah ayat 148. Kebajikan ini sebenarnya tanpa sempadan,” katanya.

Pengerusi NGO Mahabbah Baroqah, Badariah Abu Bakar turut serta dalam misi ini pula menyifatkan Islam adalah agama membawa rahmat sekalian alam, bermaksud bantuan meluas tanpa mengira tiada batasan agama dan bangsa.

Menurutnya kebajikan tanpa berkira-kira dapat mendidik hati dan rasa rendah diri.

“Kita memang perlu buat banyak kebaikan tidak kira di mana dan bila sebab kita tak tahu amalan kita yang mana ALLAH akan terima,” katanya.            

 

Angkat nama Malaysia                

Banyak NGO di Malaysia mempunyai kelebihan membantu orang luar, dan sebagai badan berpengalaman, wajarlah untuk keluar membawa nama negara.

Pengasas Merci Chefs Malaysia, Cef Aziz Juhari berkata, biarpun NGO nya mewakili Malaysia di peringkat antarabangsa, namun ia bukan bermakna meninggalkan masyarakat perlu dibantu di negara sendiri.

“Bukan nak tinggalkan orang kita dan bagi makan ‘kera di hutan’. Persepsi ini perlu diubah. Sebagai NGO berpengalaman, bagi saya baiklah kita keluar bantu misi-misi lebih besar, bawa nama Malaysia.

“Pada saya lebih ikhlas bantu di luar dari di dalam kerana kita hanya tahu nak bantu orang kita saja. Tapi di luar kita tak tahu pun siapa akan kita bantu... kita tiada pangkalan data. Bumi ini luas, takkan yang lain itu kita tak hiraukan? Itu dinamakan misi kemanusiaan,” katanya semasa misi.

Turut serta dalam Misi Bantuan Pemulihan Gempa Bumi Lombok 2.0 ini ialah, Presiden yang juga ketua Merci Chefs Malaysia dalam misi itu, Cef Diana Hadi.

Mengulas program, Aziz berkata, Merci Chef bekerjasama dengan Peduli Relief bermula tiga tahun lalu semasa operasi banjir di Meru, Klang, selain dari masa ke semasa mengadakan aktiviti bersama NGO itu.

“Ini kali pertama kita buat kerjasama antarabangsa di luar negara. Tujuan utamanya mengeratkan ukhuwah sesama kita dan kerjasama dengan NGO yang ada untuk gunakan kepakaran kita.

“Bagi saya NGO baru tumbuh ini, kita biarkan mereka fokus untuk kerja-kerja kebajikan dalam Malaysia,” katanya.

Menurutnya, bantuan diberikan Merci Chefs kali ini ialah Program Dapur Rakyat menyediakan makanan dan minuman kepada 500 penduduk kampung di Guntur Macan dan daerah Malaka di Lombok.

Aziz berkata, sumbangan daripada rakyat Malaysia ini termasuk daripada syarikat-syarikat dengan peruntukan kira-kira RM10,000, termasuk tajaan makanan kering.

“Kali ini kita belum ke Palu, kita biarkan orang pakar buat kerja dahulu. Sebenarnya walaupun tak pergi Palu, di Lombok pun masih ramai memerlukan, tapi tak diuar-uarkan kerana beritanya sudah tenggelam oleh Palu.

“Dalam perhatian saya di Lombok ini masih perlukan sokongan dari segi naikkan semangat untuk bangkit. Bantuan diharapkan dapat kurangkan sikit bebanan emosi dengan berikan kegembiraan buat mereka.

 

Bantu Palu

Terdahulu, Rayme memaklumkan Peduli Relief turut membantu penyediaan empat rumah baharu dengan nilai kira-kira RM5,000 setiap satu dan sumbangan kepada pihak masjid di Guntur Macan, Lombok Barat sebanyak RM7,000 (25 juta rupiah), dalam misi kali ini.

Turut disediakan ialah sumbangan beg berisi makanan ringan kepada kira-kira 400 kanak-kanak kepada dua kampung dikunjungi yang terlibat bencana gempa bumi.

Perancangan Merci Chefs  untuk ke Palu apabila keadaan semakin stabil, bagi misi pemulihan, motivasi, kenduri dan doa selamat.

Manakala Peduli Relief turut merancang membantu mangsa gempa pertama di Sembalun, Lombok Timur yang dikatakan lokasi terlibat gempa paling awal dan teruk terjejas, dengan penyediaan pam air bagi bekalan air bersih.

Dalam misi melibatkan 16 sukarelawan ini, tim sempat mengadakan perjumpaan ramah mesra dengan Gabenor Nusa Tenggara Barat, Indonesia, Dr H Zulkiflimansyah, selain mendapat gambaran dekat kejadian.

Setiausaha Umum Parti Keadilan Sejahtera, Nusa Tenggara Barat, Uhibbussa’adi ST turut serta dalam perjumpaan ini memaklumkan, sehingga kini kejadian gempa di Lombok sejak hujung Julai lalu membabitkan kira-kira 396,032 penduduk.  

Daripada jumlah itu sebanyak 149,706 rumah penduduk rosak dengan 560 angka korban.

“Terima kasih kepada semua NGO dan sukarelawan Malaysia yang datang membantu di tempat kami. ALLAH juga yang dapat membalasnya,” kata Uhibbussa’adi.  

Zulkiflimansyah pula berkata, masih banyak diperlukan, terutama sumbangan untuk mendirikan semula kediaman penduduk. -AG