SETAKAT ini belum ada usaha serius pihak terbabit dalam negara ini dilihat bagi bertindak menjaga kebajikan haiwan gelandangan seperti kucing dan anjing.

Presiden Persatuan Haiwan Malaysia, Arie Dwi Andika berkata, kadangkala layanan negara luar  terhadap haiwan domestik ‘companion’ begini dilihat lebih tahu menilai dan menghargai nyawa sesama makhluk.

Menurutnya, di Malaysia terdapat tiga kategori masyarakat terhadap haiwan dengan ada yang peka dan bertanggungjawab, ada sebaliknya dan ada pula pilih kasih dengan hanya menjaga kelompok haiwan diminati serta ada sebahagian yang tak peduli langsung hak dan nasib haiwan.

“Golongan ketiga inilah yang biasanya zalim terhadap haiwan. Jika di Malaysia ada ramai golongan pembenci haiwan, pasti akan ada aduan kacau ganggu kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) dan mengakibatkan haiwan begini dirampas dan dimatikan.

“Walaupun hanya 10 kucing dan lima anjing di rumah jiran sebelah, ia akan jadi satu masalah kepada mereka kerana sudah tertanam di jiwa membenci binatang. Pengurusan haiwan di Malaysia masih tidak memuaskan dan belum mencapai standard setanding negara bertamadun tinggi,” katanya ketika mengulas tahap kebajikan terhadap haiwan ‘companion’ seperti kucing dan anjing setakat hari ini.

Menurutnya, pihak berkenaan perlu mengambil serius pandangan pencinta haiwan terhadap cara pengurusan kucing dan anjing agar keadilan tetap dapat diberikan terhadap makhluk lemah itu.

Memberikan contoh, Arie berkata, usaha seperti dalam bentuk pemandulan dan relokasi haiwan boleh dijalankan dengan bantuan NGO yang sudi bertanggungjawab.

“Walaupun dalam undang-undang kecil PBT bolehkan haiwan gelandangan ini dilupuskan, contoh berlaku baru-baru ini di Sarawak dan di Negeri Sembilan melibatkan anjing, menamatkan nyawa di lokasi cara sadis adalah tak bertamadun, kejam dan bukan pamer budaya Malaysia penuh sopan-santun dan kemanusiaan.

“Alasan ketularan penyakit adalah sebab ‘menghalalkan’ cara dan tindakan primitif serta ketinggalan zaman PBT dalam menyelesaikan masalah. Kelakuan ini boleh disebut sebagai ‘melepaskan batuk di tangga’ atau ‘hanya kerana nyamuk seekor habis kelambu dibakar’,” jelasnya.

Menurutnya, tidak praktikal hanya kerana seekor dua anjing liar dikesan berpenyakit, pihak PBT mensasarkan semua haiwan itu sebagai mangsa ‘kemalasan’ dalam bertindak secara ber S.O.P dan berperikemanusiaan, akhirnya melibatkan ‘pembunuhan berlesen’ secara pukal beramai-ramai dilakukan.

 

Kerjasama NGO

Arie berkata, beberapa negara maju lain memberi pandangan bahawa cara layanan anjing gelandangan di negara ini masih terkebelakang dan tidak mencerminkan Malaysia sebagai kerajaan berkebajikan terhadap haiwan.

“Untuk penyelesaian, adalah disarankan agar Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan kementerian terbabit memanggil NGO haiwan yang sanggup membantu untuk turut bersama PBT di lapangan dalam proses menangkap dan menempatkan haiwan ini. “Hal ini mudah jika ada kerjasama dengan NGO. Akhirnya konflik haiwan yang jadi seteru masyarakat dan pihak berkuasa ini dapat diselesaikan secara berhemah,” katanya.  

Menurutnya, tindakan seperti membunuh binatang dikatakan membawa penyakit secara mudah di hadapan orang awam, boleh mempamerkan asuhan tidak baik, hingga boleh dianggap trend atau budaya biasa.

Sedangkan katanya, keadaan terbabit boleh mengganggu psikologi terutama anak-anak kecil.

Terdahulu mengulas tindakan melibatkan penganiaya kucing di sebuah kedai dobi di Gombak baru-baru ini, pihaknya berpuas hati dengan kerjasama dan tindakan Polis Diraja Malaysia atas kecekapan mereka membantu kes ini juga mencetus berkaitan Akta Kebajikan Haiwan 2015.

“Kami puas hati kes ini disiasat dan didakwa atas akta tersebut, ini sangat dinantikan rakyat Malaysia. Hukuman ini berbaloi dan mendidik masyarakat supaya prihatin kebajikan haiwan.

“NGO hanya boleh saran dan Kabinet saja yang boleh bantu. Sekiranya cadangan ini berhasil, kepercayaan masyarakat pencinta haiwan terhadap pihak berkuasa akan meningkat. Sudah tentu orang luar lihat bagaimana Malaysia uruskan hal ini,” katanya.

Menurutnya pandangan peribadinya, sikap mereka suka mendera haiwan antara simptom penyakit jiwa, untuk itu perlunya pendidikan bermula dari rumah, semasa pergaulan keluarga dan rakan.

 

 

 

 

Kes dera haiwan

8 Januari 2018 - Seorang ahli perniagaan warga Singapura didapati bersalah didenda Mahkamah Majistret, atas kesalahan memukul anjing bernama Furby guna topi keledar, di pondok keselamatan di perumahan Bandar Kinrara tahun lalu.

2 Februari 2018 - Dua lelaki warga emas 66 dan 67 tahun dipenjara 7 hari dan didenda RM7,800 oleh Mahkamah Majistret Kampar, Perak kerana mengheret anjing sejauh 2.3km hingga menyeksa haiwan itu di Jalan Batu Sinar Bandar Baru Kampar pada 11 November.

3 Mei 2018- Penganggur 35 tahun dihukum penjara 4 hari dan denda RM8,000 oleh Mahkamah Majestrit KL kerana sebabkan kesakitan pada anjing tahun lalu, anjing diabaikan hingga tubuh berulat.

28 Mei 2018 - Seorang pemandu bas mengaku bersalah dera anjing di hadapan rumah di Taman Mount Austin tahun lalu dan dijatuhi hukuman denda RM500 oleh Majistret Johor Baharu (JB).

12 Ogos 2018 - Seorang penganggur dikenakan hukuman denda oleh Mahkamah Majistret JB abaikan anjing betina hingga mati pada Ogos 2017.

16 Ogos 2018 - Remaja perempuan umur 16 tahun menendang anak kucing berusia sebulan di Tasek Gelugor dikenakan bon berkelakuan baik selama setahun oleh mahkamah Majistret Pulau Pinang.

Awal Julai 2018 - Kucing Rebana sengaja digantung hingga mati akhir Jun 2018 lalu di Pangsapuri Rebana Bandar Bukit Raja, Klang Selangor masih belum mendapat pembelaan.

Sept 2018 - Kes kucing kedai dobi.

Sumber: Persatuan Haiwan Malaysia