SEDARI kecil minatnya terhadap kebajikan kucing tidak pernah padam. Asal jumpa saja kucing tidak kira apa sakit dihidapinya memerlukan bantuan, tanpa rasa jijik akan dijaga dan dirawat olehnya.

Benci sikap pilih kasih sesetengah orang hanya menyukai kucing comel, mahal dan baka baik, dalam masa sama kucing jalanan dipandang sebelah mata dan hanya dikuis dengan kaki, sentap rasa hatinya antara punca ‘pekerjaan’ dilakukannya kini.

Buat masa ini saja, sebanyak 180 ekor kucing dibela oleh pencinta haiwan, Jamil Ismail, 48, atau lebih dikenali sebagai Jamil Kucing ini.   

“Ikutkan dah beribu kucing saya rawat dan jaga sebab ada hidup dan mati. Selain kucing, saya juga ada bela dua anjing yang orang buang dalam kawasan rumah saya, seekor musang pandan dan dua beruk.

“Alhamdulillah pengalaman sejak 25 tahun lalu sampai sekarang, saya buat kerja sepenuh masa jaga kucing biarpun berdepan pelbagai tuduhan dan dugaan,” kata lelaki berasal dari  Selama, Perak ini.   

Asalnya Jamil bekerja sebagai pembantu peribadi Allahyarham Tun Hussein Onn sehingga bekas perdana menteri itu menghembuskan nafas terakhir sebelum menjadi pembantu peribadi keluarga diraja Johor dan selepas itu bertugas sebagai pembantu kepada pengasas dan Presiden Universiti Limkokwing, Tan Sri Prof Emeritus Dr Lim Kok Wing.

Dalam masa bekerja dengan Kok Wing, dia turut aktif membuat kerja-kerja membantu kebajikan kucing, Jamil merasakan tidak dapat menumpukan perhatian terhadap dua perkara dalam satu masa menyebabkannya mengambil keputusan berhenti kerja.   

Kisahnya pernah tular disebabkan dua beruknya, dinamakan JK dan Syaki yang menarik perhatian dalam cara berpakaian dan gelagat mencuit hati, malah sebelum itu lagi Jamil sudah seringkali membuat persembahan bersama kucing-kucing di lokasi orang ramai di tengah ibu negara.

Menarik ketika temuramah di rumahnya terletak di Pandan Perdana, Kuala Lumpur, penulis dapat melihat betapa ikhlasnya Jamil memegang kucing dan mengusap haiwan tersebut sambil membersihkan kucing menghidap penyakit kulit, mata dan sebagainya itu.

“Ada sebab saya buat kerja ni. Isu haiwan kucing dan anjing... manusia pilih bulu, hanya 30 peratus prihatin, lain tak. Masalah di negara ini, masyarakat lebih suka sokong orang suka menunjuk kucing baka baik, mahal dan sebagainya. Kita yang susah nak buat benda baik ni tak dihirau dan dituduh macam-macam.

“Kata kucing banyak terbiar, ganggu, bawa penyakit... tapi tak usaha selesai masalah pun, terlalu banyak beralasan. Kalau kata bawa penyakit, bukan nak megah... dengan rezeki ALLAH selama ini 25 tahun buat ni, tak pernah kena penyakit walau apa penyakit kucing saya tak pernah jumpa dan bergelumang,” katanya.

 

Bakal diambil alih

Baru sahaja Jamil berharap ada sinar harapan dengan kewujudan taman kucing untuk menempatkan haiwan terbiar tersebut diAmpang Jaya, namun kecewa isu perlu didepaninya.

Selama tiga tahun tenaga dan masanya dihabiskan merancang pembinaan taman kucing, namun kecewa usahanya itu hanya sekerat jalan disebabkan lokasi terbabit bakal diambil alih.  

“Sebelum ini saya mohon dengan bekas MB sebelum ini, Datuk Seri Azmin Ali untuk tapak dewan tersebut. Beliau dah arahkan supaya lokasi tak pakai boleh dijadikan taman dan rumah kucing. Jadi Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) tawar dewan dan tanah boleh digunakan, jadi saya setuju.

“Dewan sebelum itu semak dibersihkan dan sangkar kucing pun dah cantik disediakan dengan peruntukan dari Kerajaan Negeri dan MPAJ, tinggal untuk serah saja. Tapi siap semuanya lepas itu senyap, hampir lapan bulan saya menunggu. Maklumat saya terima, ia akan diambil alih orang politik pula,” katanya.

Menurutnya, dia menafikan alasan permohonan ditolak disebabkan bantahan penduduk, sedangkan katanya sebelum itu kain rentang sudah digantung selama dua bulan dengan pemberitahuan berkaitan sebelum projek dimulakan.

Jamil berkata, dewan dirancang menempatkan lapan sangkar dengan tiap satunya boleh memuatkan kira-kira 30 kucing, malah mahu dibuka untuk orang awam.

“Harap surat, WhatsApp dan panggilan saya kepada pihak berkenaan dapat dibalas dan pegang persetujuan telah dibuat. Kalau tak mahu bagi dewan tu, gantikan tempat baharu.

“Populasi kucing terbiar memang banyak sangat, ikutkan selalu sangat orang buat aduan, tapi saya tak boleh ambil semua kucing. Mohon sempena Bulan Kebajikan ini, kerajaan PH prihatin kebajikan haiwan, rumah saya sekarang pun dah penuh sangat,” katanya. -AG