KONTROVERSI penamatan kontrak kerja-kerja bawah tanah projek Transit Aliran Massa 2 (MRT2), selepas kerajaan baharu dan MMC-Gamuda KVMRT (T) Sdn Bhd gagal mencapai persetujuan dan penyelesaian untuk kos kerja-kerja bawah tanah, menjadi igauan ngeri kepada 20,000 pekerja yang dikatakan akan hilang pekerjaan.

Isu Ini bukan sahaja menimbulkan kerisauan kepada pekerja-pekerja terlibat, malah keluarga mangsa,  sub kontraktor, pembekal, konsultan, dan bakal graduan bidang TVET turut terkesan. Pendek kata besar rantaian impaknya.

Penganjur Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Industri Binaan Malaysia (1989), Kamarul Bahrin Mansor, berkata isu berkenaan memang membangkitkan kegelisahan dalam kalangan pekerja tersebut walaupun ia belum berlaku.

“Bila isu ini timbul, kerisauan pekerja adalah adakah mereka akan diberhentikan pada dua bulan akan datang, dua tahun lagi dan sebagainya, itu igauan bagi mereka,” katanya ketika menjadi tetamu jemputan dalam Sinar Live dibawakan oleh Cakna Sinar, baru-baru ini.

Tegasnya, apa saja keputusan diambil oleh kerajaan, sama ada pemberhentian projek atas dasar politik dan sebagainya, pihaknya tidak masuk campur, namun melahirkan kerisauan terhasap kesan ke atas pekerja.

“Sekarang ia jadi trauma kepada pekerja erana hingga kini mereka tidak tahu nasib, sama ada perlu cari kerja lain atau tidak, kehidupan dan kebajikan mereka bagaimana? kerana asalnya projek dikatakan ambil masa lima ke enam tahun.   

“Kebiasaannya pekerja dalam sektor ini, bila tahu sesuatu pembinaan itu akan ditamatkan, contoh dua bulan, mereka akan bersedia untuk cari projek lain, kerana perlu bekerja selepas diberhentikan. Jika ini berlaku dalam tempoh pertengahan, mereka tidak dapat membuat persediaan,” katanya.

 

Perlu ada perancangan

Kamarul berkata, dalam hal ini, perkara diharapkan kesatuannya adalah supaya kerajaan dapat menjaga kepentingan, terutama pekerja tempatan dan sekiranya merancang menamatkan tender sesuatu syarikat terbabit, perlu juga merancang kaedah membela nasib pekerja tempatan.

Ini kerana daripada 20,000 pekerja yang terkesan dengan penamatan kontrak itu, seperti dilaporkan media lebih 3,000 ialah kakitangan MMC-Gamuda dan lebih 60% ialah Bumiputera.

Menurut Kamarul, penting untuk kerajaan mempunyai perancangan terhadap pekerja-pekerja terlibat seperti memberikan latihan dalam tempoh berapa lama, dan sebagainya.

“Jika konsesi baharu ambil alih pun, sama ada syarikat ini perlu ambil pekerja asal atau tidak, itulah yang perlu kita bincang dan uar-uarkan. Mungkin kerajaan boleh buat sebagaimana MAS (syarikat penerbangan) dulu di mana lebih kurang 6,000 pekerja terlibat (diberhentikan), tapi ada perancangan.

“Difahamkan seperti syarikat Gamuda, Tun (Dr Mahathir Mohamad) pun sudah mengadakan perbincangan semula. Kita optimis perbincangan berjalan lancar dan kebajikan pekerja perlu diutamakan.

“Buat masa ini kita tak boleh ambil tindakan sebab belum berlaku (pemberhentian pekerja). Kita tak pasti sejauh mana mereka buat keputusan,” katanya.

Menurutnya nasib pekerja apabila projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) ditamatkan, antara contoh ramai pekerja diberhentikan serentak, hingga sekarang masih belum bekerja.

Kamarul khuatir jika isu sama berlaku melibatkan projek MRT2, justeru merayu supaya tidak mengurangkan bilangan pekerja-pekerja projek itu demi masa depan mereka.

“Harapan kita, bila kerajaan masih dalam perbincangan untuk tangguh projek, mereka bersama kontraktor harus bincang secara dalaman dan tertutup.  Itu kita harapkan.

“Bila perbincangan masih dalam proses, tapi diuar-uarkan, kesan emosi pada pekerja. Hasil perbincangan mereka pula perlu disalurkan kepada pekerja, sekurang-kurangnya tiga bulan awal, supaya mereka boleh buat perancangan, dan tak teraniaya,” katanya.            

 

Pekerja wajib sertai kesatuan                

Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Industri Binaan Malaysia ditubuhkan pada tahun 1989, didaftarkan di bawah Kementerian Sumber Manusia, satu-satunya kesatuan mengambil ahli-ahli daripada industri pembinaan.

Kamarul berkata, mana-mana pekerja dalam industri berkenaan wajarlah terlibat menjadi ahli dan berdaftar dengan kesatuan ini.

“Mana-mana berdaftar dengan kesatuan, sekiranya berdepan isu pemberhentian kerja bolehlah memohon daripada kesatuan untuk dapatkan bantuan. Buat masa ini kesatuan bekerjasama dengan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) untuk kita menilai keadaan sekarang ini, sama ada pemberhentian ini akan berlaku atau tidak.

“Kalau berlaku, kesatuan dan MTUC ambil maklum dan kita akan adakan perbincangan dengan pihak berkepentingan, seperti Jabatan Perhubungan Perusahaan,  CIDB dan mana-mana ada kepentingan dalam sektor pembinaan ini,” katanya.

Menurutnya, sekiranya terdapat pekerja mahu berdaftar, boleh ke Facebook Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Industri Pembinaan,1989 untuk maklumat lanjut.  

Dalam pada itu, mengulas isu pekerja asing terlalu ramai dalam industri pembinaan, dia tidak menafikan kelompok terbabit menguasai sektor pekerjaan itu, terutama sebagai buruh.

Menyokong usaha kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk mengurangkan bilangan pekerja asing, namun Kamarul mempertikaikan sama ada kekosongan pekerjaan itu akan diisi pekerja tempatan.  

Mengulas isu gaji buruh warga asing dikatakan lebih tinggi daripada warga tempatan pula, dia tidak menafikan ada kalanya imbuhan diterima mereka lebih besar.

“Sebenarnya gaji pekerja sektor binaan tinggi, kerana mereka kerja lebih 8,12, 16 jam, sudah tentu gaji lebih dari gaji minimum dan gaji pekerja tempatan.

“Biasanya syarikat beri bukan gaji minimum, tapi gaji harian, jadi pekerja ini selama mana mereka mampu bekerja, sudah tentu masa lebih panjang, gaji lebih tinggi,” katanya.

 

Tak upaya bantah

Sementara itu, mengulas isu pemberhentian 20,000 pekerja berkenaan, NGO Pertubuhan Kebangsaan Pekerja Berkemahiran menyifatkan pihaknya tidak berupaya membantah apa jua keputusan kerajaan.

Setiausaha Agungnya, Mohammad Rizan Hassan berkata, bagaimana pun pihaknya berpandangan kerajaan perlulah menyediakan pelan dan perancangan untuk mengatasi masalah ini.

“Mereka sepatutnya sudah belajar tentang bagaimana untuk menangani masalah pemberhentian pekerja ekoran krisis kewangan atau lebih tepat krisis politik juga.

“Isu ii tidak boleh dilakukan secara bidan terjun atau ad-hoc. Budaya bila ada masalah baru mahu cari penyelesaian, hanya akan memburukkan lagi keadaan. Sepatutnya pihak kerajaan sudah mempunyai mekanisme-mekanisme tertentu untuk membendung perkara ini atau sekurang-kurangnya untuk menempatkan mereka bakal diberhentikan itu di sektor lain,” katanya.

 

Menurutnya, NGOnya juga berharap pihak kerajaan mengenal pasti sektor yang boleh menyerap pekerja-pekerja ini sekiranya diberhentikan.

Membayangkan kesan sosial kepada negara jika 20,000 bakal diberhentikan itu gagal mendapat pekeraan lain, Rizan berkata, sudah tentu ia akan menyumbang kepada masalah pengangguran  serius.

“Kesan sampingannya ialah lahirnya pelbagai gejala sosial lain seperti jenayah dan masalah rumah tangga. Oleh itu, kerajaan terutama Kementerian Sumber Manusia perlu membuat persediaan rapi bagi menghadapi masalah pemberhentian pekerja ini.

“Kenal pasti sektor yang boleh menyerap mereka atau serapkan mereka ke dalam program latihan semula. Dengan itu apabila ekonomi kembali pulih, mereka mempunyai kemahiran untuk memasuki pasaran pekerjaan,” katanya. -AG

 

REAKSI

"Apa jua keputusan sama ada positif atau sebaliknya bukan saja babitkan pekerja, tetapi juga kaum keluarga mereka, anak dan isteri. Semoga kerajaan PH prihatin.”

- Ana Suryana Ali, 30

 

"Kita tak pasti apa isunya sebenarnya. Apa pun diharap kerajaan dapat meneruskan projek untuk manfaat rakyat dan masa sama nasib pekerja binaan khususnya tetap terjaga.”

- Mursalim Nahar, 56, bekerja sendiri

 

"Fikirkan mekanisme terbaik supaya nasib pekerja terutama anak muda dalam bidang TVET tidak terkesan dengan penangguhan atau pembatalan projek kerajaan.”

Amirul Abdul Halim, 24, bekerja sendiri