SERING digelar mayat hidup, mat pit dan pelbagai lagi istilah negatif hingga akhirnya ramai antara bekas penagih dadah kembali terjerumus mengambil bahan terlarang itu.

Lebih malang ramai juga golongan ini tidak diterima keluarga sendiri, apalagi oleh masyarakat hingga kesempitan hidup akibat susah mendapat pekerjaan, mereka menjadi gelandangan disebabkan ketiadaan tempat tinggal.

Golongan ini dianggap sampah masyarakat yang tak perlu diambil berat dan harus dipinggirkan kerana dikhuatiri boleh menimbulkan pelbagai masalah, hingga ramai pihak ambil pendekatan enggan membantu.

Moderator Motivasi & Penyelidik, Jabatan Pentadbiran dan Keadilan Sosial, Universiti Malaya (UM), Dr Mohd Alif Jasni berkata, terdapat pelbagai persepsi menyebabkan isu itu berlaku.

“Pandangan ramai... lebih baik bantu orang yang memang nak dibantu daripada tolong penagih atau bekas penagih. Tiada siapa peduli sebabkan mereka rasa diri tak dihargai.

“Sebab itu tindakan mereka ambil dadah berulang. Kalau kita ambil peduli baru mereka rasa dihargai. Hakikatnya kalau dibiarkan berterusan begitu, jumlah mereka semakin bertambah. Maksudnya masalah bekas penagih berterusan, ditambah pula penagih baru. Angka makin meningkat, lepas itu masalah pada kerajaan jugalah,” katanya.

Dalam pada itu, menurutnya biarpun tidak banyak, bagaimana pun terdapat juga beberapa NGO dan hanya beberapa orang bergerak secara individu menumpukan usaha membantu bekas penagih.

Namun Alif percaya, selain dirinya bersama tim Jabatan Pentadbiran dan Keadilan Sosial yang bergerak sebagai sukarelawan membantu bekas penagih berdepan masalah susah mendapat dana membantu golongan ini, NGO memberi tumpuan sama turut mengalami nasib sama.

“Seperti kami hadapi, kerjasama program OK. Tetapi untuk syarikat atau korporat hulurkan dana membantu agak sukar bila melihat responden terlibat bekas banduan penagih. Saya tak berani nak cakap ada persepsi atau stigma, mungkin ada, mungkin tidak. Tapi majoriti seperti syarikat korporat atau peniaga sukar untuk membantu.

“Kadang kita dah beri penerangan.. kita nak hulur makanan, peralatan diri. Tapi mereka macam tak nak dan sukar nak bagi. Ramai anggap golongan ini seakan tak berbaloi dibantu,” katanya.

Enggan mengiyakan mahupun menidakkan sama ada benar bekas penagih tidak berbaloi dibantu, menurutnya ada pelbagai faktor menyebabkan isu timbul.

 

Harus berterusan

Kebajikan golongan penagih harus tetap diambil peduli walaupun mereka lambat berubah.

“Memang perlu beri bantuan sebab akhirnya kena pada diri kita juga sebagai masyarakat, jika sebaliknya padahnya pada diri kita juga, seperti jadi mangsa sekiranya berlaku kecurian, rompakan.

“Biasa bekas penagih nak balik kampung berubah, orang tak beri sokongan emosi, gelar bermacam-macam sebabkan mereka kembali ke bandar. Mereka tak dapat berubah... itu berulangnya buat jenayah dan ambil semula dadah,” katanya.

Alif berkata, tumpuan terhadap bekas penagih harus diberikan memandangkan jenayah berat juga boleh berlaku seperti kes bunuh bapa dengan mengeratnya baru-baru ini dan kes bakar maahad tahfiz sebelum itu yang berkaitan dadah oleh pelakunya.

Menurutnya, bantuan berterusan kepada golongan muda terlibat dadah harus berkala bagi mengelakkan terjebak hingga dewasa, manakala pendekatan harus berintegrasi dan strategik.

“Nak bantu mereka ini tak boleh sebulan atau setahun dua, ia perlu berterusan, sebab pada bila- bila masa mereka boleh trigger ambil semula dadah.

“Bila tak dapat kerja, tiada pendapatan mereka akan lakukan kerja tak sah dengan menjual dadah, mencuri. Ini yang buatkan mereka kembali ke penjara,” katanya.

Penolakan komuniti punca jenayah

Bagi melaksanakan usaha pemulihan banduan bekas penagih, golongan itu diharapkan tidak kembali ke dalam institusi penjara untuk merubah mereka, sebaliknya bantuan melibatkan penerimaan orang ramai dalam komuniti.

Dalam masa sama kerajaan perlu menyediakan program khas bantuan untuk banduan penagih sebaik dibebaskan.

Dr Alif berpandangan demikian berkata, apalagi sekarang ini sudah terlalu ramai penghuni banduan di penjara sehingga adakalanya melebihi had.

“Peruntukan kerajaan lebih banyak disalurkan untuk institusi (penjara), sedangkan kita nak kurangkan kos di situ. Jadi ideanya kita mahu mereka kembali ke komuniti dan akhirnya dapat berubah. Itu kita nak.

“Jumlah penagih memang meningkat. Saya buat kajian penagih di Malaysia sukar berubah, walaupun dah berubah 10 tahun ada buat mereka boleh kembali ke dadah. Sebab itu pemulihan untuk penagih perlu berterusan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menjadi tetamu jemputan dalam Sinar Live dibawakan oleh Cakna Sinar bertajuk Sakit Bukan Penghalang Berbakti, di Kumpulan Media Karangkraf, Shah Alam.

Dalam pada itu, mengulas kerja sosial oleh pihaknya, menurutnya ia bermula sekitar tahun 2015, dengan mendekati 19 bekas banduan bagi memberi motivasi dan kajian memahami mengapa golongan itu mengulangi jenayah.

Kawasan tumpuannya di Chow Kit, ibu negara mendapati golongan itu berdepan penolakan keluarga, menyebabkan mereka terpaksa tinggal di lorong-lorong sekitar kawasan terbabit.

“Mereka ini sangat ramai. Sebab Chow Kit jadi tumpuan salah satunya kerana mereka tak ada tempat nak pergi. Tak ada tempat tinggal terpaksa jadi gelandangan di situ, tiada pekerjaan.

“Penagih ni macam tak boleh ke mana-mana, tak boleh berubah hingga terjebak jenayah. Sebab itu kita nak membantu mereka. Kadang kesian mereka tak diterima keluarga, hingga merayau tak tentu hala,” katanya.

Menurutnya, kajiannya fokus bekas penagih kerana awalnya terlibat sebagai fellow di Kementerian Wanita, Keluarga dan Masyarakat, menyebabkan beliau mula membuka mata tentang isu-isu kebajikan golongan tersebut.

Usaha dilakukan Alif bersama timnya diharap secara tidak langsung membantu golongan gelandangan di kawasan itu.

“Tapi itulah kekangannya, kadang kita minta tajaan tak banyak... satu beg sumbangan nilai RM20. Tapi susah juga nak dapat.

“Sedangkan tujuannya beri pada bekas banduan dan orang dalam parol ini, walaupun nilainya kecil, kita mahu mereka rasa dihargai bila terima barangan sebegitu. Sebab itu kita perlu bantu mereka ini untuk berdiri di atas tapak kaki sendiri,” katanya.

 

Isu kompleks

Menyedari hakikat tanggungjawab kepada masyarakat, Alif berkata, usaha sedang dilakukan pihaknya ini tetap akan diteruskannya bersama tim biarpun maklum ia takkan memberi impak besar.

Menurutnya, justeru dalam kajiannya beliau ada mengemukakan cadangan.

“Saya fikir kalau semua orang melakukan perkara sama impaknya akan lebih besar. Halangannya adalah kesediaan, orang sekeliling kita ni sudi ke nak menolong? Misalnya bila nampak gelandangan, sedia ke nak membantu? Ia isu yang kompleks.

“Macam mana semangat saya untuk lakukan usaha ini? Kita rasa nak lakukan benda baik, kita rasa semangat,” katanya yang selalunya akan turun padang berjumpa sebulan sekali dengan banduan penagih terutama di Chow Kit.

Mengulas usahanya sejak tahun 2014 itu, menurutnya ia bermula apabila beliau menyambung pengajian Doktor Falsafah (PhD) berkaitan jenayah dan kebajikan sosial, menyebabkannya mula mendekati golongan berkenaan dengan hingga kini program kebajikan sosial dijalankan berterusan.

Memberi contoh isu harus diberi tumpuan, katanya pada 2016 seramai 4,500 bekas banduan didapati mengulangi jenayah yang dikategorikan ‘ramai’.

Mengulas sakit Arnold Chiari Malformations berkaitan saraf otak dihadapinya, menurut Alif usahanya tetap akan diteruskan biarpun ia membataskan pergerakannya.

“Usaha saya ini juga diharap dapat beri inspirasi. Kadang tak sangka juga boleh lakukan, tapi pada saya ini rezeki. Kadang saya rasa cemburu juga dengan orang yang lebih normal.

“Bukan mahu tagih simpati. Kita selalu tanya apa kita boleh lakukan pada diri kita sendiri. Sedangkan terlupa... sepatutnya, kita juga harus tanya apa boleh dilakukan untuk orang lain. Itu kita perlu ingat,” katanya.

Dr Alif mengalukan keterlibatan penaja dan sukarelawan dalam program-program melibatkan bekas penagih, orang dalam parol dan banduan. Maklumat lanjut hubungi FB, Mohd Alif (Alev Purrfect Cattery). -AG