NGO Keselamatan Penumpang Kanak-kanak Malaysia (CPSM) gembira pengumuman oleh Kementerian Pengangkutan, baru-baru ini bahawa kerajaan akan mengawal selia dan menguatkuasakan penggunaan child restraint system (CRS) atau kerusi keselamatan kanak-kanak di dalam kereta sebagai mandatori bermula pada tahun 2020.

Ini berita ditunggu CPSM sejak dua tahun lalu yang mendesak kerajaan dan pihak berkuasa mengambil langkah tegas menganjurkan dan menggalakkan orang ramai, terutama ibu bapa menggunakan kerusi keselamatan kanak-kanak di dalam kenderaan.

CPSM berkata, kenderaan pengangkutan punca utama kematian kanak-kanak antara usia 0 hingga 14 tahun pada 2016 (laporan Jabatan Perangkaan Malaysia diterbitkan pada 2017) dan menurut Laporan Tahunan Statistik Kemalangan PDRM tahun 2017, terdapat 449 penumpang jalan raya kanak-kanak yang berumur antara 0 hingga 10 tahun.

“Kami gembira Menteri Pengangkutan, Anthony Loke mengambil pandangan serius keselamatan kanak-kanak di dalam kenderaan dan memutuskan memulakan dimensi baharu dalam keselamatan penumpang kanak-kanak di Malaysia dengan menjadikan CRS wajib dalam masa dua tahun.

“Sebagai NGO berusaha meningkatkan kesedaran orang ramai kepentingan menggunakan CRS dan keselamatan penumpang kanak-kanak, kami alukan pendirian ini. Kami berharap CPSM dimasukkan dalam perbincangan oleh Kementerian dan agensi keselamatan jalan raya mengenai perancangan dan pelaksanaan kempen berkaitan,” kata CPSM dalam kenyataannya.

Menurut CPSM, pihaknya mempunyai sekurang-kurangnya 30,000 ibu bapa, di bawah pangkalan datanya, menyokong pergerakan ‘Rakyat Malaysia’ bagi jalan raya lebih selamat untuk perjalanan kanak-kanak.

CPSM bertekad akan bekerja lebih keras bagi meyakinkan ibu bapa dan  orang ramai secara umum untuk menggunakan kerusi keselamatan kanak-kanak sebagai kaedah terbaik untuk generasi masa depan.

“Untuk merangsang pelan advokasi Kementerian Pengangkutan dan Jabatan Keselamatan Jalan Raya tahun depan, CPSM melancarkan beberapa kempen seperti kursus ‘Persijilan Juruteknik Keselamatan Penumpang Kanak-kanak’ pada April 2019, antara lain dengan tujuan meningkatkan bilangan penyokong keselamatan penumpang kanak-kanak terlatih di Malaysia.

“CPSM mencadangkan beberapa rancangan advokasi dan rancangan komunikasi bermula bulan ini dan hingga pelaksanaan penggunaan wajib kerusi keselamatan kanak-kanak di dalam kereta berterusan kepada ibu bapa bahawa seorang anak juga layak mendapat perlindungan di dalam kereta,” katanya.

 

Kelas komuniti

CPSM akan meningkatkan usaha dengan menjalankan pemeriksaan kerusi keselamatan pada kerusi keselamatan kanak-kanak di beberapa negeri bermula dari wilayah utara pada suku pertama 2019, untuk mengajar dan membimbing orang dewasa memasang dan menggunakan kerusi keselamatan kanak-kanak dengan cara betul .

Terdapat juga rundingan dan kelas komuniti serta artikel keselamatan penumpang kanak-kanak dalam beberapa penerbitan.

“Kami berharap meningkatkan jangkauan media sosial CPSM sebanyak lebih 50 peratus menjelang Mac 2019 yang mensasarkan ibu bapa bandar sebagai permulaan. Kami berharap dapat meneruskan misi kami mendidik ini bersama-sama bakal rakan kongsi dan penaja termasuk pengeluar kerusi keselamatan kanak-kanak terkenal serta pemain automotif di negara ini.

“Keutamaan ini harus menjadi sebahagian budaya Malaysia semasa perjalanan walaupun untuk perjalanan singkat atau jarak jauh dalam mana-mana jenis kenderaan,” katanya.

CPS Malaysia PLT atau CPSM adalah organisasi bukan kerajaan berminat dalam mendidik orang ramai kepentingan menggunakan sistem pengekangan kanak-kanak di dalam kenderaan bergerak.

Diasaskan pada Julai 2016, CPSM kini bekerjasama dengan pelbagai organisasi dalam mempromosikan keselamatan penumpang kanak-kanak dan keselamatan jalan raya.

CPSM juga menyediakan ceramah, kelas, latihan dan bengkel untuk penyokong, anggota penguatkuasa undang-undang, profesional penjagaan kesihatan, pendidik dan orang awam berminat untuk mengetahui dan mengetahui lebih lanjut tentang keselamatan penumpang kanak-kanak.