HASIL kajian dalam platform Forum Ekonomi Dunia (WEF) mendapati  hampir 50 peratus perniagaan sosial di Mexico tidak mampu bertahan hingga tahun ketiga.

Maklumat kajian ini turut terpakai untuk negara lain seperti Malaysia, mendapati bahawa kegagalan perniagaan sosial berkenaan berpunca daripada kekurangan sumber, pembiayaan, pengetahuan, ilmu perniagaan dan infrastruktur diperlukan untuk menjana keuntungan perniagaan bagi meneruskan perjuangan mereka.

Apabila perniagaan gagal, mereka bergantung nasib kepada perjuangan itu turut menerima kesan buruknya, seperti kehilangan tempat meningkatkan kemahiran diri, pekerjaan menyara keluarga sebagai ibu tunggal atau keupayaan untuk menangani isu alam sekitar.

Persoalannya, siapa harus bertanggungjawab dalam memberikan sokongan dan bantuan kepada nasib yang menimpa mereka ini selain agensi kerajaan.

Usaha pihak kerajaan sahaja tidak mencukupi tanpa sokongan masyarakat terutama pihak korporat dan syarikat berkemampuan. Namun berapa ‘kerat’ sangat pihak ini sudi membantu?

Penting berikan mereka ini ‘pancing atau jala mengail ikan sendiri’, tanpa semata-mata mengharapkan orang lain datang ‘menyuap’. Antaranya melalui perniagaan.

Menyedari usaha itu, Hong Leong Bank Berhad (HLB) menjadikan usaha membantu memperkasakan perniagaan sosial di Malaysia agar menjadi lebih mampan sebagai sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporat (CSR) bank itu di bawah platform CSR HLB Jump Start.

Bank tersebut melancarkan ‘Demi Kita’, sebuah kempen di bawah HLB Jump Start bertujuan memberi penumpuan terhadap kepentingan usaha dilaksanakan oleh perniagaan sosial serta keperluan mereka menjadi lebih mampan sebagai sebuah entiti perniagaan berdaya maju.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan HLB, Domenic Fuda berkata, kempen ‘Demi Kita’ HLB Jump Start membuktikan komitmen bank itu dalam usaha membantu perniagaan mencapai matlamat sosial mereka, berdaya maju untuk jangka panjang.  

“Sebagai bank mempunyai semangat keusahawanan kental dan komitmen jangka panjang, kami percaya mampu melakukan perubahan dengan memperjuangkan nasib rakyat Malaysia yang berusaha memberikan impak positif dengan meningkatkan sosial serta alam sekitar di negara ini.

“Kami mahu melengkapkan mereka agar dapat menjalankan perniagaan lebih mampan menerusi inovasi, kreativiti dan semangat keusahawanan. Di HLB, kami mempunyai pengetahuan perniagaan dan kewangan, rangkaian, ilmu keusahawanan, platform digital, produk dan perkhidmatan, serta kesungguhan membantu perniagaan sosial supaya menjadi lebih mampan untuk jangka panjang agar mereka dapat menyokong isu-isu sosial yang sangat bermakna bagi komuniti,” kata Fuda.

 

Cabaran besar

Kempen ‘Demi Kita’ HLB Jump Start menampilkan kerjasama pertama bank ini dengan perniagaan sosial SURI, organisasi yang mengguna semula kain denim terpakai untuk dijadikan barangan fesyen seperti beg tangan, beg galas, dan barangan hiasan rumah.

SURI diasaskan oleh ibu tunggal, Salena Ahmad bagi menyediakan peluang pendapatan dan kemahiran hidup kepada golongan ibu tunggal serta mereka tidak berkemampuan di bandar kelahirannya di Klang. Beliau pada masa sama membantu menjaga keindahan alam sekitar menerusi aktiviti guna semula.

Menurut Salena, cabaran paling besar dihadapi dalam usaha menjayakan perniagaan sosialnya ialah kemampanan.

“Walaupun SURI mempunyai permulaan baik dengan pembiayaan serta bimbingan  program start-up perniagaan sosial dua tahun lepas, namun seperti mana-mana perniagaan lain dan lebih lagi untuk perniagaan sosial, kami terpaksa bergelut untuk urus keuntungan perniagaan.

“Saya jalankan perniagaan ini secara sendirian dan terpaksa melakukan semua perkara termasuk mereka bentuk produk, memotong kain, urus bengkel dengan ibu tunggal dan menjual produk kami,” katanya.

Menurutnya, dia menyedari perlukan bimbingan dan bantuan menambah baik perniagaan dan kemahiran pengurusan kewangan serta mengemas kini reka bentuk produk dan jenama.

Salena berkata, walaupun tidak mempunyai kepakaran aspek perniagaan, namun gembira pihak bank seperti HLB sedar  kesukaran dialami perniagaan sosial dan sedia menghulurkan bantuan kepada SURI.

HLB Jump Start bekerjasama dengan rakan kongsi berfikiran serupa bagi menyediakan bantuan bersasar kepada perniagaan sosial, supaya memperoleh manfaat menerusi kaedah lebih bermakna.

Dalam bantuan kepada SURI, HLB Jump Start bekerjasama dengan agensi jenama Naga DDB Tribal dan kumpulan pereka tempatan Tarik Jeans bagi membantu SURI meneliti semula keperluan pemasaran, jenama dan reka bentuk produknya.

“HLB Jump Start akan membantu SURI mengangkat model perniagaannya ke satu tahap lebih tinggi, menerusi pengurusan kewangan lebih baik dan inisiatif penjenamaan agar ia dapat menembusi pasaran lebih luas di luar Lembah Klang.

“Dengan memberikan mereka perkakasan betul membina perniagaan  mampan, SURI pasti berupaya beri peluang kepada lebih ramai lagi ibu tunggal untuk menjana pendapatan bagi diri mereka sendiri dengan penuh yakin,” kata Fuda.

Orang ramai berminat untuk mendermakan denim/jeans kepada SURI sebagai bahan untuk perniagaan mereka boleh berbuat demikian antara 24 hingga 30 September di cawangan Hong Leong yang terpilih di seluruh negara seperti yang disenaraikan di: www.hlb.com.my/demikita

Kempen ini adalah permulaan kepada pelbagai program yang akan dilaksanakan oleh HLB Jump Start.

Perniagaan sosial yang sedang mencari bantuan untuk memastikan perniagaan serta perjuangan mereka kekal mampan boleh menulis kepada, capr@hlbb.hongleong.com.my            

 

Bantuan berniaga                

Hidup tanpa pasangan dalam membesarkan cahaya mata memang agak sukar, lebih-lebih lagi buat mereka bergelar ibu tunggal susah yang mempunyai anak ramai.

Bagi yang tidak mempunyai pendapatan atau tidak bekerja tetap, sudah tentu bimbingan dan panduan sangat diperlukan, terutama dalam mencari pendapatan khususnya melalui peluang perniagaan.  

Pengasas dan Presiden Pertubuhan Kebajikan Insaniah Srikandi Malaysia (Srikandi Malaysia), Datuk Norashikin Abd Ghani berkata, sewajarnya golongan berkenaan dibantu.

“Ibu tunggal ini kebiasaannya boleh berdikari dan bersungguh-sungguh misalnya jika diberi peluang melalui perniagaan. Namun sukar jika tiada modal permulaan untuk berniaga.

“Jika tidak itulah jadinya... terpaksa meminjam ah long dan sebagainya. Harapan saya tinggi agar badan korporat atau pihak-pihak bank lebih banyak tumpuan pada golongan ibu tunggal bagi membantu mereka untuk jangka panjang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas berhubung tahap pemberian bantuan, khususnya melalui badan korporat dan pihak bank kepada golongan ibu tunggal melalui perniagaan.

Menurutnya, sememangnya banyak bantuan diberikan kepada golongan ibu tunggal, khususnya agensi di bawah pihak kerajaan, namun masih ramai juga belum menyedari perkhidmatan ditawarkan.

Presiden Persatuan Wanita dan Ibu Tunggal Nur Iman Kuala Lumpur dan Selangor (Witus), Sheilla Tukimin pula berkata, masalah utama dihadapi ibu tunggal adalah susah mendapat pinjaman, biasanya apabila nama telah disenaraihitamkan.

“Ada juga dalam NGO kami, ramai nama disenaraihitam bila bekas suami tidak melunaskan hutang bank, mereka pula jadi penjamin, atau pinjaman atas nama mereka. Bila tak bayar, isteri tanggung. Bila bercerai ini akibatnya bila suami tak bertanggungjawab.

“Dulu pernah dengar kata nak mansuhkan mereka yang disenaraihitamkan, supaya ada peluang baharu. Dalam konteks kerajaan baharu, kita harap ibu tunggal ditimpa nasib ini masih boleh buat pinjaman dana dengan prosedur lebih dipermudahkan,” katanya.

 

Masalah peniaga kecil

Bagi memastikan situasi menang-menang antara pemberi dan peminjam, Sheilla menyarankan supaya pihak berkenaan dapat membantu khususnya daripada segi bimbingan perniagaan.

Katanya, agensi kerajaan terbabit diharap tidak hanya lepas tangan setelah memberikan pinjaman khususnya kepada golongan ibu tunggal baru bertatih untuk berniaga.

“Pihak bank pula biasanya memang susah beri pinjaman. Lebih-lebih lagi ibu tunggal, tiada siapa bimbing apa perlu dilakukan. Contoh nak pinjam bank perlu ada bank statement, pendaftaran perniagaan, kena ada sasaran dan kertas kerja.

“Bagi peniaga besar tiada masalah, tapi macam ibu tunggal berniaga kecil-kecilan seperti jual nasi lemak ni memang susah nak pinjam dengan bank. Dapat untung terus beli barang, tak direkodkan sebab tiada pengetahuan dan tiada siapa nak beri bimbingan,” katanya.

Menurutnya, justeru apa diharapkan pihaknya supaya korporat dan bank berminat melaksanakan program tanggungjawab sosial supaya membanyakkan lagi kursus bimbingan perniagaan, khasnya untuk ibu tunggal.

Sheilla berkata, NGO ibu tunggal seperti Witus sememangnya mengalu-alukan kerjasama dengan korporat dan pihak bank untuk memberikan ilmu perniagaan dan bimbingan.

“Lebih banyak korporat dan bank buat CSR bimbingan ilmu perniagaan, lagi baik. Bukan hanya turun padang untuk lihat siapa layak buat pinjaman dan siapa tak layak pinjam.

“Masalahnya kalau bagi pinjam, kemudian tak boleh bayar... kesudahannya sama juga. Kita didik supaya mereka ada ilmu untuk susun atur perniagaan. Barulah mereka akan jadi usahawan berjaya, bank dan syarikat korporat juga boleh untung,” katanya.  -AG

 

REAKSI

"Pihak bank boleh bagi kelonggaran permudahkan untuk bagi pinjaman. Kadang ibu tunggal ni bukan  pinjam banyak pun, tapi susah dapat pinjam sebab tak ada slip gaji dan sebagainya. Memang ramai perlu bimbingan.”

- AJK Persatuan Ibu-ibu Tunggal Pulau Pinang, Mohd Sanasat Abd Rani

"Kita bukan hanya perlu wang semata, tetapi ilmu supaya dapat berdikari dengan cara berniaga. Namun buat masa ini kita terpaksa minta banyak bantuan melalui pihak persatuan.”

- Ibu tunggal, Fazilah Md Yusof

"Secara peribadi saya tak nampak lagi bantuan bimbingan korporat khas untuk golongan ibu tunggal. Hanya dengan berniaga dapat membantu. Jadi jika korporat dan bank dapat buat lebih banyak CSR bimbingan dan nasihat berniaga, lebih baik.”

- Ibu tunggal, Haslina Mohamad