TANPA keprihatinan kita siapa lagi seharusnya membantu golongan memerlukan, selain daripada berharapkan kepada pihak berwajib.

Moga lebih ramai lagi pihak prihatin menubuhkan NGO berkaitan bagi membantu golongan memerlukan.

Sejak lima tahun Pertubuhan Kebajikan Baitul Hasan Kuala Lumpur ditubuhkan pada 3 September 2013 ini aktif membantu golongan asnaf dan memerlukan.

Progam terutama berbentuk pendidikan, sumbangan kewangan dan barangan bukan saja disediakan untuk golongan memerlukan di dalam, malah di luar negara.   

Pengasas Pertubuhan Kebajikan Baitul Hasan Kuala Lumpur, Dino Rizal Suratman berkongsi, dia yang juga guru agama pada peringkat awal mengajar terutama al-Quran dan fardu ain terutama kepada anak-anak di Lembah Pantai, dalam masa sama menubuhkan NGO.

“Kita bawa misi dan matlamat untuk membantu golongan asnaf, ibu tunggal, anak yatim dan orang kurang upaya (OKU) merangkumi aspek pendidikan, kemahiran, kesihatan, barang keperluan harian, motivasi dan kaunseling.

“Kita lebih membantu kepada pendidikan untuk anak-anak. Ada lebih kurang 200 lebih anak-anak yatim dan asnaf di bawah jagaan kami di Lembah Pantai. Jika bantuan di luar, kalau nak dikira lebih 2,000 anak yatim dan asnaf seluruh Malaysia kita dah bantu,” katanya kepada Cakna Sinar.

Menariknya, selain bantu anak yatim dan asnaf, pihaknya juga mengadakan Misi Ziarah Asnaf ke seluruh Malaysia dua ke tiga kali setahun.

Turut bekerjasama dengan NGO lain dalam program di luar Lembah Klang, selain dalam negara, misi bantuan pihaknya turut melibatkan maahad tahfiz dan rumah anak yatim dan pihak memerlukan hingga ke luar negara seperti Thailand dan Indonesia.

 

Program tiap minggu

Aktif mengadakan aktiviti, antaranya pada setiap minggu pihaknya mengadakan kelas pengajian al-Quran dan fardu ain untuk anak asnaf di Pejabat Pertubuhan Kebajikan Baitul Hasan Kuala Lumpur terletal di No 22 - G , Medan Klang Lama 28 , Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur.

Menurutnya, selain itu pertubuhan ini juga menyediakan kelas tuisyen percuma kepada pelajar dan pada Januari tahun depan kelas terbabit akan dibuka semula memandangkan ia kini ditutup berikutan minggu peperiksaan telah tamat.

“Selain itu, kita bantu beri bantuan barang makanan melalui sumbangan zakat atau sumbangan dari orang ramai. Itu atas permintaan sebab ada nak bagi zakat by hand, kami hanya sebagai perantara.

“Kita ini pun dah macam baitulmal, cuma baitulmal besar, kami ini kecil,” katanya yang menerangkan  pihaknya turut membantu lebih 100 lebih keluarga asnaf Lembah Pantai terdiri kalangan Ibu tunggal dan OKU yang terlepas pandang dari menerima bantuan pihak berwajib.

Bersetuju kebiasaan anak dan keluarga asnaf biasanya kurang mendapat sokongan terutama kewangan, disebabkan itu pihaknya menawarkan tuisyen, kelas akademik dan kemahiran secara percuma.

Pertubuhan mempunyai sembilan orang tenaga pengajar ini juga menawarkan kemahiran untuk keluarga asnaf kerjasama dengan NGO lain seperti bengkel menjahit, memasak dan motivasi.

Terbaharu, 2 Disember lalu, pihaknya mengadakan Program Jom Kembali Ke Sekolah 2019 Siri-1 di Mydin USJ Subang Jaya, untuk 100 anak yatim dan asnaf Kuala Lumpur dibantu keperluan persekolahan.

Terima kasih pihak terlibat membantu merealisasikan program ini khususnya AJK & sukarelawan Baitul Hasan serta para dermawan. Harapan saya agar lebih ramai masyarakat sekitar sama-sama bantu asnaf supaya mereka lebih berdikari terutama melalui pendidikan.

 “Kami menawarkan bantuan pendidikan, pengajian percuma selain bantuan makanan barang dapur kepada asnaf. Sesiapa ingin membuat sumbangan dalam bentuk sedekah, zakat , wakaf @ fidyah,  bolehlah disalurkan ke akaun Bank Islam: 14171 01 000 7586 ( Pertubuhan Kebajikan Baitul Hasan Kuala Lumpur),” katanya.

Maklumat lanjut boleh hubungi 017 - 3505 681 (pejabat Baitul Hasan) atau 017- 3535 085 (Ustaz Dino ).