PEMBANGUNAN Ar Rahman International School terletak di atas sebidang tanah wakaf seluas 2.02 hektar di Kampung Thnol Keng Khum Seda, Daerah Dombey, Negeri Tbong Khmom, Kemboja dengan dua tingkat dan 10 bilik darjah sekurang-kurangnya mampu menampung pendidikan sebahagian anak-anak umat Islam membabitkan 400 keluarga dari 30 kampung di situ.

Siapa sangka usaha ini mula digerakkan oleh sekumpulan anak muda yang menganggotai Cambodian Muslim Intelectual Alliance (CMIA) diketuai, Mohd Farid Hosen.

CMIA menjalankan beberapa program bagi mendapatkan dana membangunkan pendidikan umat Islam Kemboja. Usaha dilakukan melalui kempen pembelian tanah dan kebun getah wakaf, wakaf bangunan sekolah, pembiayaan guru-guru dan tenaga pengajar.

Usaha CMIA tidak terhenti di situ. Mereka merasakan masih ramai anak di pedalaman Kemboja belum mendapat hak pendidikan sempurna, justeru, usaha dan perancangan ke arah membangunkan sekolah di pedalaman Kemboja diusahakan.

Usahawan berjaya dari Malaysia, Pengerusi Rahman Brother’s, Datuk Abd Rahman Ibrahim, bermurah hati menjadi antara penyumbang terbesar dalam pembelian tanah wakaf dan membiayai pembangunan sekolah di sana.

Akhirnya pada 14 Oktober 2018, sekolah ini dirasmikan pembukaannya oleh Jeneral Tentera Diraja Kemboja, HE Hun Manet mewakili Perdana Menteri Kemboja, Somdach Hun Sen. Beliau juga anak Perdana Menteri Kemboja, HE Hun Sen.

Berkongsi pengalamannya, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Mohamad Nordin Ibrahim berkata, beliau mula mengenali CMIA melalui Mohd Farid sejak tahun 2009.

Menurutnya, pemuda itu ke Malaysia untuk mendapatkan bantuan dan nasihat Jakim bagi membangunkan pendidikan umat Islam di Kemboja.

“Hasil perbincangan dan siri kunjungan wakil Jakim ke Kemboja, akhirnya kami bersetuju jalinkan perjanjian persefahaman bersama untuk pembangunan pendidikan umat Islam Kemboja.

“Pada awal tahun 2010, Jakim melalui Persatuan Kakitangan Perkhidmatan Ugama (PKPU) menandatangani MoU bersama CMIA bagi jayakan hasrat itu,” katanya.

 

Kegigihan umat Islam

Sewaktu pertama kali menjejakkan kaki di Ar Rahman International School hatinya terdetik memikirkan kegigihan umat Islam Kemboja bergelut membangunkan taraf pendidikan anak-anak mereka.

Mohamad berkata, walaupun kebanyakan penduduk di situ kais pagi makan pagi, namun rasa tanggungjawab terhadap pendidikan anak-anak tidak membatasi usaha mereka.

“PKPU membantu CMIA menjalankan beberapa program bagi mendapatkan dana membangunkan pendidikan umat Islam Kemboja. Pengumpulan dana turut dilakukan melalui program ibadah korban dan akikah sempena musim raya Korban serta memperkenalkan CMIA kepada golongan korporat, NGO dan agensi tertentu di Malaysia yang sedia membantu.

“Akhirnya, pada 2015, Ar Rahman International School berjaya dibina dan dirasmikan pembukaannya. Hingga kini sekolah itu mempunyai 360 pelajar di peringkat menengah dan rendah,” katanya.

Menurutnya, pihaknya turut merasa bangga, melihat kesungguhan tinggi anak-anak muda Kemboja akhirnya berjaya membangunkan dua sekolah agama.

Mohamad berkata, namun kejayaan membangunkan sekolah bukan bermakna usaha terhenti di situ, lebih mencabar memotivasikan ibu bapa di Kemboja supaya mempunyai kesedaran dan semangat tinggi menghantar anak belajar di sekolah.

“Kekangan ekonomi dan kesempitan hidup sebabkan mereka lebih terdorong bawa anak-anak ke kebun dan sawah bagi bantu menyara pendapatan keluarga.

“Justeru, terdetik di hati saya gerakkan pula usaha memotivasikan ibu bapa umat Islam agar terus hantar anak belajar. Salah satu cara melalui penajaan kos yuran pengajian anak-anak mereka,” katanya.

Hasratnya untuk memperkenalkan skim tajaan pendidikan umat Islam Kemboja, justeru menyeru agar sesiapa sahaja prihatin boleh menyahut saranan ini.

Dengan kadar USD60 (RM250) setahun mampu menyara kos bagi seorang pelajar sekolah rendah di Kemboja.

“Dengan itu, kita mampu menyelamatkan seorang daripada ancaman kejahilan.

“Sumbangan kita, tanpa kenal batas dan sempadan diharap mampu melebar risalah dan menyantuni ummah selaras Islam sebagai agama rahmatan lil alamin,” katanya. -AG