LOKASI 'jelajah laut' yang terkemuka di negeri ini, The Shore Ocenarium mencatatkan lebih 1.2 juta pengunjung sejak mula dibuka empat tahun lalu.

Pengarah Urusannya, Chew Chert Fong berkata, jumlah itu termasuk pelancong tempatan dan luar negara yang rata-rata teruja dibawa menerokai kepebagaian spesies dan biodiversiti di bawah permukaan air terutama hidupan laut yang jarang dilihat dan ditemui.

Menurutnya, angka tersebut termasuk jumlah pengunjung yang datang sepajang tahun ini dengan menyasarkan 400,000 pengunjung hingga Disember ini.

Katanya, kewujudan lokasi itu bukan sahaja merancakkan sektor pelancongan di negeri ini malah menjadi medium pendidikan dan pemberi maklumat terutama dalam kalangan kanak-kanak dan pelajar sekolah kerana terdapat lebih 300 spesies ikan berbeza saiz dan warna.

"Jumlah kehadiran pengunjung begitu memberangsangkan setiap tahun sekali gus menunjukkan produk pelancongan itu antara tarikan pengunjung apabila ke Melaka.

"Dalam masa sama sentiasa mencari idea untuk mempelbagaikan lagi tempat ini yang membawa pengunjung ke dunia marin," katanya

Chert Fong berkata demikian ketika aksi penyelam dan persembahan istimewa sempena Hari Krismas  di The Shore Oceanarium Melaka, di sini, hari ini.

Jelasnya, pihaknya akan terus bekerja kuat untuk merancang pelbagai pengisian lain bagi bersama membantu kerajaan negeri mempromosikan Tahun Melawat Melaka 2019.