SAHAM Tenaga Nasional Bhd (TNB) di Bursa Malaysia susut pagi ini, walaupun terdapat perjanjian kerjasamanya untuk mengembangkan portfolio tenaga boleh baharu (RE).

Pada 9.43 pagi, saham syarikat utiliti itu merosot dua sen kepada RM13.54 dengan 1.32 juta saham bertukar tangan.

TNB semalam mengumumkan ia telah menandatangani perjanjian dengan GMR Bajoli Holi Hydropower Private Limited (GBHH) dari India, GMR Energy Limited (GEL) dan GMR Infrastructure Limited (GIL) untuk melanggan debentur boleh tukar wajib (CCD) yang diterbitkan oleh GBHH sebanyak INR2.26 bilion atau RM133.2 juta.

Public Investment Bank Bhd, dalam nota berkata, CCD mempunyai tempoh 30 tahun dan akan ditukar kepada pegangan ekuiti sebanyak 30 peratus sebelum tempoh berakhir.

Ini untuk memudahkan pembinaan loji tenaga hidroelektrik 180MW GBHH di negeri Himachal Pradesh.

“Keseluruhan kemajuan projek itu sebanyak 78 peratus dan loji itu dijangka memulakan operasi komersial pada Oktober 2019.

“Kami memahami pengambilalihan itu tidak akan memberi impak yang ketara kepada pendapatan TNB dalam masa terdekat, dan justeru itu, mengekalkan unjuran dan anggaran kami,” menurut Public Investment Bank.

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan ‘mengatasi pasaran’ ke atas TNB dengan harga sasaran tidak berubah pada RM16.86 sesaham. - Bernama