RINGGIT lemah berbanding dolar AS hari ini kerana berita mengenai data jualan runcit dan pengeluaran perindustrian China yang lebih rendah daripada dijangkakan, memberikan kesan penurunan kepada pasaran tempatan, kata Ketua Dagangan Asia Pasifik OANDA, Stephen Innes.

Pada 6 petang, ringgit didagangkan pada 4.1830/1880 berbanding dolar AS daripada 4.1780/1820 pada Khamis.

Ringgit dilihat menjejaki pergerakan renminbi China untuk beberapa ketika kerana negara berkenaan adalah antara pelabur utama Malaysia.

“Saya akui terkejut kerana ringgit tidak didagangkan lebih positif memandangkan perang perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China sudah semakin baik sementara ringgit seharusnya mendapat sokongan daripada kemungkinan jeda kadar faedah AS pada 2019.

“Pasaran sebaliknya terperangkap dengan kelesuan hujung tahun dan pelabur tempatan kecewa terhadap harga minyak serta prospek pertumbuhan global pada 2019,” katanya kepada Bernama

Berbanding mata wang utama, ringgit meningkat kepada 5.2635/2710 daripada 5.2902/2957 berbanding pound semalam dan meningkat kepada 4.7239/7299 berbanding euro daripada 4.7533/7587 semalam.

Ia mengukuh sedikit berbanding dolar Singapura kepada 3.0393/0434 daripada 3.0479/0519 pada Khamis tetapi susut berbanding yen kepada 3.6842/6895 daripada 3.6817/6859 semalam. - Bernama