"RINGGIT ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini berikutan tindakan pedagang mengurangkan penglibatan masing-masing menjelang cuti hujung minggu dan Krismas," kata peniaga.

Pada jam 6 petang ini, ringgit diniagakan pada paras 4.1790/1830 berbanding dolar AS berbanding 4.1760/1800 pada Khamis.

Penganalisis Penyelidikan FXTM, Lukman Otunuga berkata pasaran kewangan kekal tidak memberangsangkan di tempoh-tempoh akhir menutup 2018 berikutan sentimen mengelak risiko akibat kebimbangan terhadap pertumbuhan global yang terus ketara.

“Kegelisahan membabitkan kadar faedah AS, ketegangan perdagangan yang berterusan dan risiko politik di Eropah adalah antara faktor risiko geopolitik yang berkemungkinan mendedahkan pasaran untuk susut," katanya.

Bagaimanapun, ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding kelompok mata wang utama.

Ringgit mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.0490/0531 daripada 3.0513/0553 pada Khamis namun rendah berbanding yen Jepun kepada 3.7588/7634 daripada 3.7379/7425.

Unit tempatan itu turut tinggi berbanding pound British kepada 5.2919/2986 daripada paras 5.2968/3036 semalam dan mengukuh berbanding euro kepada 4.7758/7808 daripada 4.7924/7991.- Bernama