MENTERI Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad hari ini menjelaskan bahawa pihak yang berpotensi untuk melabur dalam projek kereta nasional ketiga adalah negara Qatar, dan bukan individu dari negara teluk itu seperti yang dilaporkan semalam.

Beliau menarik perhatian bahawa negara itu mempunyai dana US$400 bilion untuk dilaburkan di seluruh dunia termasuk Malaysia.

“Sekarang terpulang kepada kita untuk menarik pelaburan atau dana itu supaya orang Qatar atau kerajaan Qatar akan melabur di Malaysia. Antara projek yang dicadang untuk menerima pelaburan itu ialah projek kereta nasional ketiga," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Khalid berkata untuk menarik pelabur luar, Malaysia perlu menunjukkan negara ini mempunyai projek yang menarik, dan industri automotif yang berteknologi tinggi adalah satu pilihan baik bagi tujuan itu.

Beliau berkata projek kereta nasional ketiga cetusan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad itu perlu menjadi inisiatif pihak swasta yang mana ia terbuka kepada pelabur termasuk dari Qatar. - Bernama