KUALA LUMPUR - Jumlah pendapatan pelaburan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi suku ketiga yang berakhir 30 September, 2018, meningkat 12.82 peratus kepada RM14.61 bilion daripada RM12.95 bilion yang dicatatkan semasa tempoh yang sama tahun lepas.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pelaburan) Datuk Mohamad Nasir Ab Latif peningkatan pendapatan itu dipacu daripada pemulihan ekuiti di Malaysia dan Asean dalam suku tersebut daripada kemerosotan pasaran dalam suku-suku sebelumnya, manakala ekuiti pasaran maju terus mencatatkan pertumbuhan positif berbanding suku sebelumnya.

“Suku ketiga menyaksikan kami menempuh persekitaran pasaran yang tidak menentu didorong oleh ketegangan perdagangan antara China dan Amerika Syarikat (AS).

“Ketidaktentuan semakin terasa di rantau ini  dan telah menyebabkan kejatuhan dalam harga pasaran ekuiti serantau pada suku keempat  2018. Ini pastinya akan memberikan cabaran besar kepada KWSP untuk mengekalkan momentum pendapatan yang sama bagi suku keempat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohamad Nasir berkata dalam suku ketiga ekuiti merangkumi 40.67 peratus daripada keseluruhan aset pelaburan KWSP, menyumbang RM8.89 bilion dan merupakan 60.81 peratus daripada keseluruhan pendapatan pelaburan bagi tempoh tersebut.

“Sejumlah 50.72 peratus daripada aset pelaburan KWSP adalah dalam instrumen pendapatan tetap yang terus menjana pendapatan konsisten dan stabil serta mengurangkan risiko keseluruhan dan melindungi ketidakstabilan portfolio dana itu, selaras dengan fungsi KWSP sebagai dana seimbang,” katanya.

Beliau berkata pelaburan pendapatan tetap merekodkan RM4.73 bilion dalam suku ketiga, bersamaan dengan 32.40 peratus daripada pendapatan pelaburan suku ketiga.

Penyumbang lain kepada pendapatan pelaburan itu adalah Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) dan bersamaan (RM2.50 bilion), pinjaman dan bon (RM2.24 bilion), instrumen pasaran wang (RM265.39 juta) dan hartanah dan infrastruktur (RM726.23 juta).

Beliau berkata sebanyak RM1.33 bilion daripada jumlah pendapatan pelaburan kasar iaitu RM14.61 bilion dijana untuk Simpanan Syariah dan RM13.28 bilion bagi Simpanan Konvensional.

“Simpanan Syariah memperoleh pendapatannya hanya melalui bahagian portfolio Syariah manakala pendapatan bagi Simpanan Konvensional dijana oleh bahagian portfolio Syariah dan portfolio konvensional,” katanya.

Mohamad Nasir berkata selaras dengan pelaksanaan Piawaian Pelaporan Kewangan Malaysia 9 (MFRS 9), yang berkuat kuasa 1 Jan tahun ini, keuntungan modal atas pelupusan ekuiti berjumlah RM5.17 bilion bagi suku ketiga akan disalurkan kepada keuntungan terkumpul daripada penyata pendapatan komprehensif lain dan bukan kepada penyata untung rugi seperti amalan standard pelaporan kewangan sebelumnya.

“Tambahan lagi, di bawah MFRS 9, KWSP tidak lagi akan mengiktiraf sebarang rosot nilai ke atas pegangan ekuitinya,” katanya.

Mengenai prospek untuk suku terakhir, beliau berkata KWSP akan terus mengambil langkah berwaspada terhadap ketidaktentuan persekitaran luaran yang berterusan seperti perang perdagangan AS-China, harga komoditi yang semakin lemah, kenaikan kadar faedah AS dan pasaran ekuiti domestik yang lebih mencabar.

“KWSP berbesar hati atas sokongan Kementerian Kewangan dan Bank Negara Malaysia  kepada program pempelbagaian jangka panjang KWSP, dalam usaha memastikan dana itu kekal berada di landasan untuk mencapai sasaran strategiknya, iaitu sekurang-kurangnya 2.5 peratus dividen nominal dan 2.0 peratus dividen sebenar untuk tiga tahun berturut-turut,” katanya. - Bernama