KUALA LUMPUR - Tindakan penamatan usaha sama antara Tan Chong Motor Holdings Bhd (TCMH) dan Nissan Motor Co Ltd di Vietnam tidak mempunyai impak serta merta terhadap penarafan TCMH, menurut RAM Ratings Services Bhd.

Ketua Penarafan Pengguna dan Perindustrian RAM, Kevin Lim berkata, tindakan itu juga tidak mempengaruhi perjanjian francais sedia ada bagi pengedaran kenderaan Nissan di Malaysia, Kemboja, Laos dan Myanmar yang mana kumpulan itu kekal sebagai pengedar tunggal Nissan.

“TCMH masih menjalankan usaha pengeluaraan dan pemasangan unit terurai untuk dipasang (CKD) kenderaan Nissan di Vietnam berikutan ia diuruskan oleh anak syarikat milik penuhnya, TCIE Vietnam Pte Ltd, di bawah perjanjian berbeza,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Lim berkata, daripada perspektif perniagaan, kedudukan TCMH yang agak kecil di Vietnam dijangka mengehadkan pertumbuhannya di negara itu serta boleh menghalang strategi kepelbagaian serantau.

“Bagi tahun kewangan berakhir Disember 2017, Vietnam menyumbang 13 peratus daripada jumlah perolehan TCMH dengan separuh daripadanya disumbangkan oleh segmen model diimport sepenuhnya.

“Ini bermakna operasi keseluruhan kumpulan di Vietnam mencatat kerugian (kerugian pracukai dalam fiskal 2017:RM77 juta). Oleh itu, ruang lingkup operasi yang dikecilkan di Vietnam dijangka memberi kesan positif kepada keuntungan TCMH,” katanya.

Menurut Lim, kumpulan tersebut juga terdedah kepada risiko francais tidak diperbaharui memandangkan sebahagian besar perniagaan TCMH melibatkan jualan produk di bawah jenama bukan miliknya.

“Operasi mereka akan terjejas teruk jika mana-mana francais itu ditamatkan atau dipinda secara negatif. Namun, risiko itu ternyata dihadkan oleh jalinan hubungan enam dekad kumpulan itu bersama Nissan Motor serta rekod pencapaian yang mantap,” katanya. - Bernama