NAZA Euro Motors Sdn Bhd, pengedar tunggal jenama kereta DS di Malaysia, bercadang melabur RM5 juta untuk pemasaran dan operasi kedai kereta DS yang baharu dilancarkan, tahun depan.

Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan automotif Naza Corporation Holdings Sdn Bhd, Datuk Samson Anand George, berkata ini adalah tambahan kepada pelaburan RM2 juta bagi membuka kedai berkenaan.

Dengan sokongan dan visi DS Automobiles untuk terus mempercepat pembangunan jenama DS di Malaysia, ia adalah masa yang tepat untuk melabur," katanya berucap pada majlis pelancaran kedai DS di sini hari ini.

Katanya, kedai DS yang baharu di Petaling Jaya adalah yang pertama diperkenalkan di Malaysia dan Asia Tenggara dan direka bentuk bagi menyediakan perkhidmatan premium serta terbaik untuk pelanggan.

“Meliputi kawasan seluas 3,230 kaki persegi, kedai berkenaan berkapasiti untuk mempamerkan tiga model kereta daripada himpunan DS pada satu-satu masa selain menawarkan kemudahan 3S (jualan, servis dan alat ganti) kepada pelanggan.

“Kedai ini akan bertindak sebagai hab sehenti berpusat untuk pemilik dan bakal pemilik DS untuk mendapat yang terbaik apa ditawarkan DS Automobiles,” katanya.

DS Automobiles adalah jenama premium terkenal Peranchis dan pada masa ini mempunyai 450 kedai di seluruh dunia akan terus menarik minat peminat kereta premium. - Bernama