KUALA LUMPUR - Malaysia Debt Ventures Bhd (MDV) melantik Datuk Seri Lee Kah Choon sebagai pengerusi bukan eksekutif baharunya, berkuat kuasa 13 Disember.

Kah Choon menggantikan Tan Sri Zarinah Anwar, yang tamat tempoh perkhidmatannya pada 21 Julai tahun ini.

Dalam kenyataan hari ini, MDV berkata, Kah Choon kini merupakan ahli lembaga pengarah beberapa syarikat berkaitan kerajaan negeri dan aktif dalam merangka arah tuju dasar perbadanan-perbadanan berkenaan serta sebahagian besar keputusan strategik masing-masing.

“Beliau juga ialah ahli lembaga pengarah pelbagai syarikat merentas pelbagai industri seperti perdagangan komoditi, pengeluaran makanan, pelancongan, pembangunan hartanah dan pengurusan kekayaan,” katanya dalam kenyataan itu.

MDV ialah anak syarikat milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan. - Bernama