MERBOK - Yayasan Maybank menyuntik dana tambahan sebanyak RM20,000 kepada 20 penerima yang berjaya melaksanakan projek mereka berkonsepkan kesukarelawan dengan baik di bawah Program Cahaya Kasih yayasan itu.

Antara projek berkenaan ialah membantu kanak-kanak dan keluarga miskin di Kemboja dan pembuatan kraf tangan oleh individu cacat di Jakarta manakala projek di Malaysia di Kampung Bujang, Kedah; Pulau Carey dan Serendah di Selangor serta di Sabah dan Sarawak.

Ketua Hal Ehwal Korporat Maybank merangkap Ketua Sekretariat Yayasan Maybank Eliza Mohamed berkata Maybank menerima lebih 200 penyertaan dari seluruh negara dan memilih 20 yang terbaik untuk menerima dana tambahan itu bagi meneruskan usaha masing-masing.

"Maybank yang beroperasi di 20 negara, dan 18 daripadanya menyertai program tanggungjawab sosial korporat (CSR) bank tahun ini," katanya kepada pemberita semasa menghadiri program 'Cahaya Kasih From Poverty To England & Environment Conservation Effort' anjuran bersama Maybank serta Kelab Pendidikan dan Kebajikan Puncak Lembah Bujang di Pusat Giat Ilmu, Kampung Bujang hari ini.

Beliau berkata program CSR Maybank dilaksana saban tahun merangkumi aspek pendidikan dan sukan selain memperkukuh persekitaran komuniti, kesihatan serta perubatan.

Eliza berkata 20 projek itu dipilih berdasarkan impak atau kesan jangka panjang terhadap peserta dan masyarakat.

Beliau berkata projek yang dilaksana Maybank turut memberi penekanan dalam bidang pendidikan dan sehingga kini, sebanyak 16 sekolah dijadikan sekolah angkat Maybank.

"Kami rasa gembira dengan projek yang dilaksanakan Pak Su (Ramli Bakar, 72) di Kampung Bujang, khususnya membantu pelajar kurang berkemampuan untuk berjaya dalam bidang akademik dan menikmati kehidupan lebih baik," katanya.

Eliza turut menyampaikan sumbangan beg sekolah kepada 80 pelajar serta memberi penghargaan kepada dua pelajar cemerlang dalam Peperiksaan Menengah Rendah (PMR) dan 10 pelajar yang mendapat 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini.

Eliza dan kakitangan Maybank di Kedah turut menanam 50 benih pokok bakau dan 50 benih buluh madu di sepanjang Sungai Bujang sebagai usaha pemuliharaan alam sekitar bagi mengurangkan pencemaran alam sekitar. - Bernama