KUALA LUMPUR – Malaysia masih pasaran pesat membangun pilihan pelabur, walaupun kadar aliran masuk bersih pelabur asing yang kini perlahan, kata seorang ahli akademik.

Geostrategis Universiti Teknologi Malaysia, Profesor Dr Azmi Hassan, berkata pada 2019 MIDF Amanah Investment Bank Bhd mendapati Malaysia mencatatkan kadar pengaliran wang keluar kedua terendah daripada tujuh negara di Asia yang dipantaunya.

"Saya cukup yakin terhadap ekonomi Malaysia pada 2019 walaupun dengan aliran masuk bersih pelabur asing yang tidak begitu baik berbanding enam negara lain," katanya.

Beliau berkata aliran keluar semasa yang berterusan berkait rapat dengan keyakinan pelabur asing, terutama dipengaruh oleh perkembangan negatif luaran semasa.

"Saya percaya faktor-faktor tempatan seperti dasar fiskal kerajaan Pakatan Harapan, isu kewangan Tabung Haji dan Felda, memain peranan dalam menentukan sentimen pelabur asing, namun faktor luar yang di luar kawalan, turut memainkan peranan yang lebih besar dalam menentukan sama ada pelabur asing mahu melabur di Malaysia," kata Azmi.

Beliau berkata isu seperti Brexit, perang perdagangan AS-China dan penguncupan KDNK Jepun memain peranan yang lebih besar berbanding isu-isu tempatan.

Ahli Ekonomi Bank Islam Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata pemacu utama minggu ini tidak lain daripada pengumuman Fed mengenai keputusan kadar faedah dengan dua kenaikan kadar lebih tinggi kemungkinan berlaku pada tahun depan berdasarkan unjuran ahli Jawatankuasa Pasaran Terbuka Rizab Persekutuan itu.

"Ini bermakna Kadar Dana Persekutuan semakin mendekati kadar neutralnya - kadar yang tidak menguncup dan mengembang. Ini melibatkan prospek pertumbuhan yang lebih perlahan di AS kurangnya masa untuk mengambil tindakan dalam mengetatkan dasar monetari yang mampu memberi impak ke atas ekonomi," katanya.

Mohd Afzanizam berkata wujud juga kemungkinan bahawa keluk hasil Perbendaharaan AS akan menurun pada satu tahap dalam tempoh terdekat memandangkan lengkung seperti tiga bulan dan dua tahun sangat responsif terhadap kenaikan kadar faedah. Oleh itu, risiko perdagangan dapat diatasi.

"Kedudukan ini tidak akan banyak berbeza minggu pada minggu depan memandangkan pasaran sangat bergantung kepada data. Mungkin aktiviti memperelok akaun yang akan berlaku dapat membantu menyokong pasaran menjelang 2018," kata Mohd Afzanizam.

Sementara itu, Pensyarah Kanan dan Pengurus Pembangunan Perniagaan Putra Business School Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata sentimen pasaran kekal lemah, terutama disebabkan oleh faktor global seperti keputusan Rizab Persekutuan AS menaikkan kadar faedah pada Rabu dan mengekalkan sebahagian besar panduan untuk kenaikan tambahan dalam tempoh dua tahun akan datang.

"Harga minyak mentah juga jatuh dan mencecah paras terendah dalam tempoh lebih setahun disebabkan oleh kebimbangan mengenai penawaran berlebihan dan prospek permintaan tenaga.

"Ringgit kekal lemah dan bergerak mendatar menghampiri 4.20 dengan kadar terkini pada 4.18. Sentimen pasaran tempatan ini dijangkakan kekal sehingga hujung tahun memandangkan ramai yang kini dalam suasana bercuti," kata Ahmed Razman.

Sementara itu, Ketua Perdagangan OANDA Asia-Pasifik, Stephen Innes berkata aliran masuk dana asing dijangka perlahan minggu depan memandangkan pelabur kini memberi perhatian ke atas pasaran ekuiti global dan tempatan yang lemah yang menyebabkan aliran keluar minggu ini.

"Pada masa ini, para pelabur enggan memasuki pasaran dan menunggu peluang untuk memberi semasa harga rendah.

"Dengan penurunan harga minyak dan kenaikan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan AS pada hari Rabu sebanyak 0.25 mata, menyebabkan pasaran ekuiti AS terus merosot, yang mengheret turun saham Asia," katanya.

Innes berkata sepanjang minggu ini, prestasi ringgit telah banyak terjejas oleh kejatuhan harga minyak serta sentimen risiko serantau.

Pada awal minggu ini, petunjuk minyak mentah Brent berada pada US$60.25 setong dan berkurangan kepada AS$54.88 pada Jumaat.

"Ini merupakan minggu yang memperlihatkan ringgit bercampur-campur, tengah-tengah rayuan Asia FX dan diheret turun oleh sentimen risiko kebimbangan kejatuhan harga minyak," katanya.

Innes juga berkata peningkatan ketegangan perdagangan antara pentadbiran Trump dan China melalui perdagangan terus, memberi impak ke atas negara-negara perdagangan.

"Sekiranya negara yang terjejas terus bergantung kepada keadaan kerana ia lebih baik tanpa mengambil langkah-langkah konkrit, kebimbangan ini akan terus berkembang," katanya.

Selain harga minyak, ringgit juga terjejas oleh prestasi eksport komoditi seperti minyak sawit dan getah.

“Ringgit terlalu bergantung kepada minyak dan eksport komoditi. Jika sentimen kedua-duanya positif, ringgit akan memperoleh dorongan positif,” katanya.

Menurut kajian oleh penyelidik kargo, Intertek Testing Services, eksport produk minak sawit Malaysia dari 1 hingga 20 Disember, meningkat 2.9 peratus kepada 808,061 tan berbanding 785,493 tan yang dieksport antara 1 hingga 20 November, katanya.- Bernama