MENTERI Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia Datuk Mohamaddin Ketapi menyarankan syarikat penerbangan Malaysia Airlines meletakkan logo ‘Visit Malaysia 2020’ pada setiap pesawatnya sebagai promosi untuk menarik kedatangan pelancong ke negara ini.

Beliau berkata ia merupakan antara strategi yang boleh dilakukan bagi mencapai sasaran 30 juta pelancong ke negara ini pada 2020.

“Saya telah beritahu kepada ketua pegawai eksekutif syarikat penerbangan itu untuk membawa serta memasarkan Malaysia di luar negara. Tolonglah lekat logo ‘Visit Malaysia 2020’ pada semua badan kapal terbang,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Datuk Zakaria Mohd Edris (BN-Libaran) yang ingin tahu strategi kerajaan menarik pelancong ke negara ini pada Tahun Melawat Malaysia 2020.

Mohamaddin berkata saranan itu juga turut dikemukakan kepada syarikat penerbangan luar negara bagi mempromosikan sektor pelancongan Malaysia di peringkat antarabangsa.

“Selain itu saya juga berunding dengan IndiGo Airlines dari India berikutan ramai pelancong dari negara itu berkunjung ke negara kita. Saya sarankan kepada mereka (syarikat penerbangan IndiGo Airlines) yang ingin membawa pelancong masuk  ke negara ini agar melekatkan logo ‘Visit Malaysia 2020’ pada badan kapal terbang masing-masing,” katanya.- Bernama