NAZA Premira Sdn Bhd, pengedar rasmi jenama Vespa di Malaysia hari ini melancarkan Edisi Ulang Tahun Primavera ke-50, siri khas yang dikeluarkan Piaggio untuk meraikan 50 tahun Primavera sejak pengenalannya pada 1968.

Ketua Pegawai Eksekutif Untuk Kumpulan Automotif Naza Corporation Holdings, Datuk Samson Anand George berkata, Primavera melambangkan cara pintar dan canggih untuk bergerak dalam bandar, yang paling terkenal dengan ketangkasan dan kepraktisan dengan gaya Itali.

"Naza Premira dengan bangga memperkenalkan Edisi Ulang Tahun ke-50 Primavera di sini kepada golongan muda dan berasa diri masih muda yang menghargai ikon yang tidak berkesudahan untuk bersiar-siar dengan bergaya dan bebas," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Edisi Ulang Tahun ke-50 Vespa Primavera dilengkapi dengan enjin empat lejang generasi terbaru 150 cc yang menawarkan prestasi tinggi dan kecekapan bahan api. Aspek baru termasuk 'tie' tersendiri yang terdapat di bahagian depan dan puncak krom di madgad depan.

Edisi Ulang Tahun ke-50 Vespa Primavera dijual pada pada harga bermula RM16,300 di atas jalan tanpa insurans.

Naza Premira juga menawarkan pakej pembiayaan yang hebat dengan kerjasama AEON Credit, di mana Edisi Ulang Tahun Primavera ke-50 bersama dengan semua model Primavera, Sprint dan GTS boleh dibeli pada kadar faedah 6.0 peratus setahun. - Bernama