TABUNG Kewangan Antarabangsa (IMF) menjangkakan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebenar Malaysia adalah pada 4.7 peratus untuk 2018, berbanding dengan ramalan awal sebanyak 5.3 peratus yang dibuat pada 7 Mac lepas.

Menurut IMF lagi, inflasi telah menurun dan dijangka berada di sekitar purata 1.1 peratus pada tahun ini.

"Pertumbuhan kredit mula meningkat baru-baru ini dan aliran keluar modal telah terkawal. Lebihan akaun semasa dijangka merosot kepada 2.1 peratus daripada KDNK," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Satu pasukan IMF yang diketuai oleh Nada Choueiri telah melawat Kuala Lumpur dan Putrajaya dari 29 Nov hingga 12 Dis lepas, bagi melengkapkan Atrikel IV Rundingan dengan Kerajaan 2019.

Memandang ke hadapan, IMF berkata pertumbuhan KDNK sebenar Malaysia bagi 2019 dijangkakan sebanyak 4.5 hingga 5.0 peratus dengan permintaan domestik kekal menjadi penyumbang utama pertumbuhan, manakala tarif Amerika Syarikat ke atas import dari China akan terus mendatangkan kesan negatif ke atas pertumbuhan negara secara keseluruhan.

Inflasi sepatutnya berada pada 2.2 peratus, memandangkan kesan daripada pelupusan cukai barang dan perkhidmatan mula berkurangan.

"Risiko kepada prospek pertumbuhan adalah penurunan. Dari segi luaran, Malaysia terdedah kepada dasar perlindungan yang semakin meningkat, keadaan kewangan global yang agak ketat dan pertumbuhan yang lebih lemah daripada jangkaan di kalangan rakan-rakan perdagangannya.

"Domestik, liabiliti kontingen mungkin memerlukan langkah-langkah tambahan bagi memastikan kemampanan fiskal jangka sederhana," katanya.

Kata IMF lagi, walaupun unjuran defisit belanjawan untuk 2018 mencerminkan kelewatan kepada pelarasan fiskal, tahap penyatuan fiskal yang dirancang oleh kerajaan untuk 2019 adalah bersesuaian dan dapat membantu membina penampan serta mengekalkan keyakinan pasaran kewangan.

"Dalam jangka masa sederhana, dasar fiskal harus mengikuti laluan penyatuan secara beransur-ansur. Komposisi pelarasan perlu dipertingkatkan supaya ia lebih berdasarkan kepada pendapatan, mewujudkan ruang untuk peningkatan dalam perbelanjaan sosial untuk menyokong pertumbuhan yang inklusif.

"Rangka kerja dasar monetari Malaysia telah berprestasi baik, ia menyampaikan pengukuhan kepada harga dan output. Pendirian dasar monetari semasa yang neutral adalah wajar memandangkan keadaan pertumbuhan tertutup kepada berpotensi, tiada tekanan inflasi dan keadaan kewangan yang beransur-ansur menjadi ketat," katanya.

 IMF berkata pergantungan yang berterusan kepada keterlenturan kadar pertukaran dan penyesuaian dasar makroekonomi harus menjadi barisan pertama pertahanan terhadap kejutan luar.

"Sistem kewangan setakat ini berada pada kedudukan yang baik untuk menangani kejutan yang standard. Keuntungan bank dan kecairan agak mantap manakala, sektor korporat mencatatkan leveraj sederhana.

"Hutang isi rumah tinggi, tetapi menurun selepas pasaran perumahan mula terurus. Walaupun sektor kewangan masih berdaya tahan, langkah pengawasan oleh pihak berkuasa serta pertimbangan yang aktif bagi mengurangkan risiko adalah dialu-alukan," katanya.

IMF ketika mengulas mengenai pembaharuan tadbir urus, berkata ini akan dapat membantu meningkatkan ketelusan, akauntabiliti dan kecekapan perkhidmatan awam kerana ia adalah amat penting untuk mengekalkan momentum dalam reformasi pentadbiran dan memantapkan mereka dalam perundangan yang sesuai bagi menjamin kebebasan beberapa institusi utama serta memantapkan pemeriksaan dan pengimbangan.

"Satu agenda pembaharuan struktur yang menyeluruh, di sepanjang garisan yang dibentangkan dalam Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-11, diperlukan untuk membantu Malaysia mencapai status negara berpendapatan tinggi dan pembangunan ekonomi yang inklusif," katanya.

IMF berkata keutamaan harus diberi kepada pelaksanaan dasar-dasar yang meningkatkan pertumbuhan produktiviti seperti menambah baik pendidikan, memacu inovasi serta penggunaan teknologi dan menggalakkan usaha meningkatkan rantaian nilai. - Bernama