KUALA LUMPUR - Felda melancarkan Polisi Anti Rasuah dan Penyelewengan bersempena dengan Hari Integriti Felda 2018 dalam satu majlis di Menara Felda, Kuala Lumpur semalam.

Majlis perasmian yang disempurnakan oleh Pengerusi Felda, Tan Sri Datuk Megat Zaharuddin Megat Mohd Nor turut dihadiri oleh 800 orang yang terdiri daripada pengurusan tertinggi Felda, Ahli Jawatankuasa Perunding Peneroka (JKPP), Belia Felda, petugas Felda, Felda Technoplant, Felda Investment Corporations (FIC) dan vendor-vendor Felda.

Menurut kenyataan kepada media, polisi tersebut menggariskan jenis-jenis salah laku rasuah, percanggahan kepentingan, salah guna kuasa dan penyelewengan yang ditegah oleh undang-undang dan rujukan kepada semua petugas Felda, Ahli Lembaga Pengarah Felda, pihak berkepentingan dalam Felda dan rakan perniagaan Felda untuk melaporkan sekiranya berlaku salah laku.

Pengarah Besar Felda, Datuk Dr Othman Haji Omar berkata, penganjuran Hari Integriti Felda 2018 ini diharapkan dapat meningkatkan keberkesanan sistem penyampaian dan pada masa yang sama, mematuhi segala undang-undang, polisi dan peraturan yang menjadikan Kumpulan Felda warga korporat yang bertanggungjawab dan boleh dipertanggungjawabkan.

Megat Zaharuddin pula menyatakan komitmen beliau dan lembaga serta barisan pengurusan untuk memastikan segala urusniaga dilaksanakan secara beretika, profesional dan berlandaskan undang-undang serta peraturan demi menginstitusikan standard integriti dan governans terbaik seiring dengan visi dan misi Felda untuk menambah nilai kepada kepentingan peneroka.

Polisi Anti Rasuah dan Penyelewengan ini adalah edisi pertama bagi Felda dan berkuat kuasa mulai Disember 2018.

Bersempena dengan Hari Integriti ini, terdapat sesi forum dijalankan dengan bertemakan 'Felda Ke Arah Integriti' menampilkan tiga orang ahli panel yang terdiri daripada Timbalan Pengarah besar (Pembangunan Ekonomi) Felda, Haniff Ahmad Norilah, Pengarah Bahagian Pengurusan Integriti Agensi SPRM, Datuk Junipah Wandi dan Pengurus Besar Pemasaran, Union Harvest Sdn Bhd, Wong Kar Sum.