KOTA BHARU – Konsortium E-Mutiara Berhad (E-Mutiara) meraih pencapaian menakjubkan pada majlis SME 100 Fast Moving Companies Awards 2018 yang berlangsung di ibu negara, baru-baru ini.

E-Mutiara yang merupakan pengendali perkhidmatan bas ekspres terkenal di negeri ini menduduki tangga kelima dalam kelompok 10 syarikat terbaik, pada majlis tersebut.

Daripada 700 syarikat yang dinilai, sebanyak 100 buah menerima anugerah pada majlis yang mengiktiraf perusahaan kecil dan sederhana (PKS) daripada seluruh negara dengan tumpuan kepada pertumbuhan perolehan dan daya tahan amalan terbaik.

Pengerusi Eksekutif syarikat berkenaan, Che Ibrahim Che Ismail menerima trofi dan sijil kecemerlangan yang disampaikan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dr Ong Kian Ming.

Dalam pada itu, Che Ibrahim berkata, kejayaan tersebut memberi signifikan tersendiri terutama ketika E-Mutiara meraikan sambutan Jubli Perak mereka, pada tahun ini.

“Pencapaian meraih tempat kelima begitu membanggakan bukan sahaja kepada diri saya sendiri tetapi juga seluruh warga kerja yang bekerja keras meletakkan E-Mutiara di landasan yang betul.

“Pastinya kejayaan ini menyuntik motivasi dan memberi inspirasi kepada kami untuk memastikan syarikat ini terus berdaya maju dalam industri pengangkutan awam khususnya di Kelantan, pada masa akan datang,” katanya.