Co-opbank Pertama (CBP) melantik Don Daniyal Don Biyajid sebagai Ikon CBP melalui kerjasama KUISCELL Sdn Bhd, anak syarikat milikan penuh Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) bagi tempoh setahun bermula Disember 2018.

Don Daniyal atau lebih dikenali sebagai Ustaz Don berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Takhassus Qiraat dari Maahad Qiraat Shoubra, Mesir terkenal sebagai  pendakwah muda, penceramah dan muncul di program televisyen selain sering mendapatkan respon yang positif dari segenap lapisan masyarakat di Malaysia.

CBP dalam kenyataannya memaklumkan, pemilihan Ustaz Don sebagai ikon CBP bertepatan dengan hasrat CBP dalam meningkatkan capaian segmen pelanggan baharu CBP.

Menurutnya, di samping itu ia sebagai usaha mempertingkatkan imej CBP sebagai sebuah co-opbank syariah terunggul di Malaysia.

"Sebagai ikon CBP, beliau bakal menyertai kempen dan program yang dianjurkan oleh CBP di seluruh negara bagi mempromosikan produk-produk kewangan berlandaskan syariah yang ditawarkan kepada orang ramai.

"CBP sedang menjalankan promosi keanggotaannya di seluruh negara melalui Kempen labur dan maju bersama CBP dengan tawaran hadiah menarik yang bernilai lebih RM50,000 untuk dimenangi sehingga 31 Disember 2018,” katanya CBP.