BURSA Malaysia dibuka tinggi pada Isnin pasca Sidang Kemuncak Kumpulan 20 (G20) dan selepas Presiden Amerika Syarikat (AS)  Donald Trump dan Presiden China Xi Jinping bersetuju menangguhkan tarif baharu, yang telah merangsang pasaran kewangan dan pasaran saham, kata para peniaga.

Pada jam 9.11 pagi, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 10.40 mata kepada 1,690.26 berbanding paras penutup 1,679.86 pada Jumaat.

Indeks itu dibuka tinggi naik 5.88 mata kepada 1,685.74.

Di keseluruhan pasaran, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 258 berbanding 103, dengan 124 tidak berubah, 1,381 kaunter tidak diniagakan dan 21 yang lain digantung.

Jumlah dagangan berjumlah 233.14 juta unit bernilai RM157.51 juta.

RHB Research Institute berkata kedua-dua China dan AS bersetuju untuk tidak mengenakan tarif tambahan apabila kedua-dua ekonomi besar dunia itu membincangkan rundingan perdagangan baharu dengan sasaran memeterai perjanjian dalam masa 90 hari.

“Kejayaan itu dicapai selepas pertemuan antara Trump dan Xi pada Sidang Kemuncak G20 di Buenos Aires.

“Trump memutuskan untuk tidak mengenakan tarif seterusnya ke atas barangan China bernilai AS$200 bilion dari 10 kepada 25 peratus pada 1 Januari seperti yang diumumkan sebelum ini, manakala Beijing bersetuju untuk membeli sejumlah barangan pertanian, tenaga, perindustrian dan produk-produk lain-lain yang yang tidak ditentukan tetapi dalam jumlah yang sangat besar,” kata agensi penyelidikan itu yang memetik Rumah Putih.

Susulan ini, harga minyak global juga meningkat sebanyak 3.72 peratus kepada AS$61.67 setong.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi di Bursa Malaysia , Maybank meningkat enam sen kepada RM9.45, Public Bank dan Tenaga tidak berubah masing-masing pada RM24.92 dan RM14.24, manakala Petronas Chemicals naik tiga sen kepada RM9.23.

Dalam kalangan kaunter cergas, PWorth meningkat setengah sen kepada 4.5 sen, Bumi Armada dan Genting Malaysia kedua-duanya naik satu sen masing-masing kepada 17 sen dan RM2.87, bagaimanapun Hubline tidak berubah pada empat sen.

Dalam kalangan kaunter untung, United Plantations naik 58 sen kepada RM26.68, Malaysian Pacific meningkat 52 sen kepada RM10.52, Hong Leong menambah 28 sen kepada RM20.66 dan KESM Industries menokok 25 sen kepada RM8.28.

Indeks FBM Emas Shariah meningkat 93.55 mata kepada 11,726.99, FBM 70 naik 118.94 mata kepada 13,660.85 dan Indeks FBM Ace menambah 32.23 mata kepada 4,796.66.

Indeks FBM Emas naik 83.21 mata kepada 11,687.55 manakala Indeks FBMT 100 meningkat 78.01 mata kepada 11,558.06.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan meningkat 19.76 mata kepada 6,873.03, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 0.62 mata kepada 171.05 dan Indeks Perkhdimatan Kewangan menokok 100.89 mata kepada 17,470.11.- Bernama