SYARIKAT penerbangan tambang murah terkemuka, AirAsia akan menawarkan tiket dengan harga promosi kepada penyokong Harimau Malaya untuk menyaksikan perlawanan akhir kedua, Piala AFF Suzuki 2018 di Hanoi, Vietnam, 15 Disember ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes berkata, tawaran itu dibuat bagi memastikan lebih ramai penyokong Malaysia dapat ke Hanoi untuk memberikan sokongan kepada pemain negara nanti.

Katanya lagi, perbincangan juga akan dilakukan pada Selasa ini dengan pengurusan lapangan terbang di Hanoi bagi melihat jumlah slot penerbangan dari Malaysia yang dibenarkan nanti.

[ARTIKEL BERKAITAN: Final AFF: Pesawat khas buat penyokong Harimau Malaya]

"Malaysia memerlukan sokongan sebanyak mungkin. Semasa saya di Hanoi, saya melihat rakyatnya begitu menggila dan mereka telah menang.

"Kita (AirAsia) akan cuba aturkannya. Apa yang kita cuba lakukan adalah, penerbangan akan berlepas melalui Bangkok (jika tiada penambahan slot penerbangan dari Malaysia) dan kita akan cuba menggunakan kapal terbang yang lebih besar.

"Sekiranya kita mendapat slot dan hak dan kita akan cuba menambah bilangan kapal terbang juga," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika hadir pada Program Executive Talk: From Zero to Hero di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di sini, hari ini.

Menurutnya lagi, pihaknya juga akan bekerja dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Ultras Malaya.

[ARTIKEL BERKAITAN: Harimau Malaya, Vietnam berentap di final Piala AFF Suzuki]

Perlawanan akhir yang menggunakan format timbal balik itu akan memulakan aksi dengan skuad negara menerima kunjungan Vietnam pada final pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil, Selasa depan, sebelum aksi final kedua di Hanoi, 15 Disember ini.