IPOH - AirAsia Bhd memulakan penerbangan sulungnya dari Singapura ke Ipoh hari ini sebagai laluan baharu dalam rangkaian penerbangan syarikat itu yang meluas.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Riad Asmat berkata, penerbangan Singapura ke Ipoh yang beroperasi empat kali seminggu itu merupakan sebahagian usaha syarikat penerbangan itu untuk mengembangkan rangkaiannya di Ipoh.

“Kami berharap dapat meningkatkan trafik pelancong ke Ipoh seterusnya ke Perak secara keseluruhan. Kami berterima kasih kepada kerajaan negeri Perak dan lembaga pelancongan di atas sokongan dan kerjasama yang berterusan,” katanya kepada pemberita pada majlis sambutan penerbangan sulung Singapura-Ipoh AirAsia, di sini, hari ini.

Riad berkata, AirAsia akan menambah kekerapan penerbangan dari Johor Bahru ke Ipoh dari empat ke tujuh kali seminggu bermula 12 Februari, 2019.

“Sejak pelancaran laluan Johor Bahru-Ipoh pada Oktober, kami membawa lebih 10,000 penumpang di dalam dan luar Ipoh, termasuk dari China, Indonesia, India dan Singapura," katanya.

Terdahulu, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Perak Tan Kar Hing dan CEO Tourism Perak, Zuraida Md Taib menyambut 166 penumpang yang tiba menerusi penerbangan sulung itu.

Ahmad Faizal berkata, pengenalan laluan penerbangan itu adalah sejajar dengan hasrat kerajaan untuk mengubah Pulau Pangkor sebagai pulau bebas cukai dan visi kerajaan negeri untuk menjadikan Perak sebagai destinasi percutian utama dalam kalangan pelancong. - Bernama