AIRASIA dan Thien Minh Travel Joint Stock Company (TMG) menandatangani Memorandum Kerjasama untuk menawarkan perkhidmatan penerbangan tambang rendah  dengan rakan kongsi tempatan di Vietnam, kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan, Tan Sri Tony Fernandes.

Beliau berkata, memorandum yang ditandatangani hari ini itu mengesahkan komitmen kumpulan untuk menawarkan perkhidmatan di negara berkenaan.

“AirAsia sudah menjadi kumpulan syarikat penerbangan asing terbesar di Vietnam dari segi kapasiti,” katanya dalam kenyataan dan menurutnya syarikat penerbangan itu kini menawarkan perkhidmatan penerbangan ke lima destinasi di Vietnam.

Syarikat penerbangan tambang rendah itu mengendalikan 141 penerbangan pergi balik  dalam seminggu di 13 laluan, menghubungkan Hanoi, Ho Chi Minh, Da Nang, Nha Trang dan Phu Quoc dengan Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor Bharu di Malaysia, Bangkok dan Chiang Mai di Thailand dan Manila di Filipina. - Bernama