KUALA LUMPUR - Kilang pengeluaran silinder komposit gas petroleum cecair (LPG) pertama di negara ini bakal dibangunkan pada Mei tahun depan dengan sasaran pengeluaran maksimum 200,000 tong sebulan.

Pembangunan alternatif pasaran LPG di Malaysia dan Asia Tenggara itu menerusi anggaran pelaburan awal RM100 juta, pembinaan kilang berkapasiti tinggi itu akan direalisasikan oleh Astana City Group Sdn Bhd (ACGSB)

Syarikat berkenaan, antara yang mendapat kelulusan pemberian subsidi oleh kerajaan melalui Kementerian Kewangan (MOF) untuk memasarkan dan mengedarkan silinder komposit LPG bagi pasaran Malaysia sekaligus

Pengarah Urusan ACGSB, Nik Mohd Fareez Nik Ahmad Azman berkata, kilang berkenaan akan dibina di Pelabuhan Klang dengan kerjasama syarikat pengeluar dari Korea, Kumpulan Hyundai dan PAP Thailand Ltd Co.

“Pembinaan kilang ini akan mengambil masa 6 hingga 9 bulan untuk disiapkan sebelum beroperasi bagi menampung permintaan silinder komposit LPG yang akan mula dipasarkan pada Februari tahun depan.

“Untuk permulaan, kami import produk ini dari kilang Hyundai di Gyeongsangnam-do Korea Selatan dan Thailand untuk memperkenalkan dan menggalakkan penggunaan silinder komposit LPG sebagai alternatif kepada pengguna,” katanya selepas pelancaran silinder komposit LPG di sini, hari ini.

Menurutnya, ACGSB akan memfokuskan penjualan silinder komposit itu di Semenanjung terutama Lembah Klang sebelum ke semua negeri dalam tempoh setahun seterusnya menguasai kira-kira tiga peratus pasaran pengguna LPG di negara ini.

Silinder komposit direka lebih ringan dan dilengkapi ciri-ciri keselamatan.

“Kami yakin silinder komposit ini mampu menarik permintaan yang tinggi daripada pengguna berdasarkan harga kompetitif yang bakal diumumkan kelak.

“Produk ini akan menjadi pilihan pengguna dan mampu mencapai sasaran jualan antara 200,000 hingga setengah juta tong silinder sebulan seterusnya menguasai 20 peratus penggunaan dalam pasaran pada tahun kelima nanti,” katanya.

Nik Mohd Fareez berkata, silinder komposit berkenaan dilengkapi dengan ciri keselamatan iaitu pemasangan ‘RFID smart valve’ yang mempunyai teknologi cip RFID membantu mengelakkan penyelewengan subsidi serta penyeludupan silinder LPG.

“Silinder komposit ini memiliki banyak kelebihan berbanding silinder besi yang digunakan sejak sekian lama ini. Ia direka dalam bentuk menarik, dihasilkan daripada plastik dan gentian kaca, tahan karat  lebih ringan dan penanda aras kandungan LPG.

“Ia lebih selamat dan tidak akan meletup jika berlaku kebakaran dan mendapat jaminan ketahanan daripada pengeluar, Hyundai BS&C selama 30 tahun, selain sudah digunakan di Amerika Syarikat (AS), Jepun, Australia, Thailand serta Eropah,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, ACGSB sedar cabaran untuk menarik pengguna menukar kepada produk berkenaan memandangkan teknologi silinder besi yang sudah berada di pasaran sejak lebih 40 tahun.

“Kami akan berusaha memberi kesedaran kepada pengguna untuk beralih kepada penggunaan produk harian yang lebih selamat ini,” katanya.