99°EAST Langkawi Sdn Bhd, usahasama antara Menteri Besar Incorporated (MBI), milik kerajaan negeri Kedah dengan sekumpulan pelabur antarabangsa, akan menjalankan pembangunan bernilai berbilion ringgit, di sini, dalam masa tiga tahun akan datang.

Pengarah 99°East, Rohan Cavaliero berkata, fasa pertama pembangunan berkenaan termasuk antaranya, lapangan golf 18 lubang, 58 lot villa berkepadatan rendah serta kompleks pangsapuri dan hotel menghadap laut di kawasan seluas 100 hektar di pulau ini.

“Nilai pembangunan kasar fasa satu melebihi RM1 bilion. Kami perlu mengeluarkan pelaburan yang besar, Kami berhemah dan tahu di mana ia akan dibelanjakan,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran rasmi Kelab Golf 99°East oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir, malam tadi.

Katanya, antara pojek dirancang untuk fasa seterusnya adalah pembangunan sekolah antarabangsa, muzium seni halus juga pusat ekuestrian dan polo antarabangsa.

“Kami meletakkan jiwa dan raga supaya projek ini akan membentuk watak untuk pembangunan bersepadu di Langkawi, serta memberikan sumbangan yang besar kepada ekonomi tempatan seperti peluang pekerjaan dan membawa masuk lebih ramai orang untuk menikmati pulau yang indah ini,” tambahnya.

Sementara itu, Mukhriz percaya bahawa syarikat itu dapat menjayakan perancangan pembangunan berkenaan, bagaimanapun pada masa sama memastikan bahawa kesemua kerja dilaksanakan secara mampan bagi mengekalkan alam sekitar pulau ini.

Katanya, keindahan semula jadi yang mengagumkan dan keunikan Langkawi harus dijaga sebagaimana kayanya budaya warisan komunitinya.

“Kerajaan negeri mengambil langkah merentas Kedah untuk meningkatkan rekod prestasi alam sekitarnya, sambil mempertimbangkan teknologi terkini untuk memelihara segala yang dikurniakan alam sekitar dan tidak begitu menganggunya,” tambahnya.

Mukhriz berkata, pembukaan lapangan golf 99°East memberikan Langkawi satu lagi tempat untuk menganjurkan pertandingan golf antarabangsa selepas dua lapangan golf sama di Jalan Datai dan Gunung Raya.

“Menjadi matlamat kerajaan negeri untuk membawa acara sukan berkelas antarabangsa ke Langkawi, tetapi untuk melakukannya, kita perlu mempunyai kemudahan yang baik. 99°East menawarkannya,” tambahnya. - Bernama