DUITNOW, perkhidmatan pembayaran elektronik baharu daripada Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet)  yang membolehkan pelanggan bank memindahkan wang secara serta-merta dan selamat dengan menggunakan nombor telefon bimbit penerima, kini tersedia kepada orang ramai menerusi 14 bank tempatan dan juga asing.

PayNet dalam satu kenyataan hari ini berkata perkhidmatan itu yang tersedia mulai 17 Dis (Isnin)  dilancarkan melalui saluran perbankan Internet dan/atau mudah alih bank-bank berikut iaitu Ambank (M) Bhd, Bank Islam Malaysia Bhd, Bank of China (Malaysia) Bhd, BNP Paribas Malaysia Bhd, CIMB Bank Bhd, Citi Bank Bhd, Heong Leong Bank Bhd and HSBC Bank Malaysia Bhd.

Bank-bank yang lain ialah Malayan Banking Bhd, OCBC Bank (Malaysia) Bhd, Public Bank Bhd ,RHB Bank Bhd, Standard Chartered Bank Malaysia Bhd dan United Overseas Bank (Malaysia) Bhd.

Syarikat itu berkata, susulan daripada pelancaran ini, rangkaian institusi yang menawarkan perkhidmatan DuitNow akan diperluaskan dengan penambahan 17 bank dan syarikat e-dompet tidak lama lagi.

“Pelanggan yang ingin menerima pemindahan dana melalui DuitNow dengan menggunakan nombor telefon bimbit mereka perlu melakukan pendaftaran satu kali sahaja untuk memautkan nombor telefon bimbit ke nombor akaun bank mereka,” kata syarikat itu.

Pelanggan juga boleh memautkan nombor MyKad atau MyPR, nombor Tentera atau Polis, nombor Pasport atau nombor Pendaftaran Perniagaan ke akaun bank mereka untuk menerima wang.

“Kami amat berbesar hati dengan sambutan daripada jutaan rakyat Malaysia yang telah mendaftar untuk DuitNow yang membolehkan mereka menerima dana dengan menggunakan nombor telefon bimbit dan nombor MyKad mereka,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PayNet, Peter Schiesser.

Bank Negara Malaysia merupakan pemegang saham tunggal terbesar PayNet.

Pelanggan bank kini boleh melihat, mengubah suai atau memindahkan pendaftaran DuitNow mereka melalui saluran Perbankan Internet atau Mudah Alih di 14 buah bank. Bagi memastikan kemudahan kepada pelanggan, bank-bank di Malaysia telah bekerjasama supaya pelanggan dapat melihat pendaftaran mereka di semua bank apabila mereka mengunjungi Perbankan Internet atau Mudah Alih mana-mana satu daripada bank mereka.

Pemindahan dana sehingga RM5,000 adalah percuma untuk semua pengguna dan perusahaan kecil sederhana (PKS) dan pelanggan boleh melakukan pemindahan dengan mengakses tab DuitNow di bawah menu ‘Pemindahan Dana’ di saluran Perbankan Internet atau Mudah Alih bank masing- masing. Sesetengah bank juga akan mengetepikan caj transaksi DuitNow bagi pemindahan dana yang melebihi RM5,000.

“DuitNow merupakan fasa pertama dalam langkah beberapa tahun oleh industri perbankan untuk memodenkan infrastruktur pembayaran runcit di Malaysia. Usaha ini bertujuan memperkenalkan satu platform yang kos efektif, tangkas dan fleksibel bagi menyokong produk e-pembayaran yang inovatif dan baru bagi menyampaikan cadangan nilai pelanggan yang unggul,” kata Schiesser.

Bersempena dengan pelancaran DuitNow, satu peraduan akan dijalankan di seluruh negara bermula pada 8 Januari 2019, di mana pelanggan bank yang telah mendaftar untuk menerima dana melalui DuitNow akan berpeluang memenangi hadiah-hadiah menarik bernilai jutaan ringgit.

Peraduan ini akan menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia mengamalkan gaya hidup tanpa transaksi tunai dengan memberi ganjaran kepada mereka yang menggunakan transaksi DuitNow.

Bagi keterangan lebih lanjut sila layari www.duitnow.my. - Bernama